Saturday, October 23, 2010

KELEBIHAN BUAT KELANTAN - SATHIA


Akmal Rizal (kiri) dikhabarkan mengalami kecederaan serius tulang belakang ketika pertemuan menentang Kedah di Alor Setar malam semalam.

KOTA BHARU – Keputusan seri tanpa jaringan menentang Kedah dalam separuh akhir pertama TM Piala Malaysia di Stadium Darul Aman malam semalam memberi kelegaan yang cukup besar kepada Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan dalam merencana percaturannya bagi menghadapi lawan yang sama malam esok.

“Permulaan yang buruk kepada kita kerana terpaksa membuat tiga pertukaran pemain dalam tempoh 12 minit perlawanan bermula. Pemain kita baru sahaja mendapat rentak perlawanan tetapi terganggu dengan kecederaan ketiga-tiga pemain.  Jadi kita bermain dalam keadaan kelam-kabut 20 minit pertama sebelum pemain kembali menemui rentak sebenar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Namun kita bermain dengan baik dalam perlawanan itu. Kita menguasai sebahagian babak pertama dan babak kedua perlawanan. Kita mempunyai banyak peluang namun nasib tidak menyebelahi kita menjaringkan gol pada perlawanan itu.

“Saya kira kita harus memberi pujian kepada pemain kita. Mereka bermain sebagai satu pasukan, bertahan dan terus menyerang sepanjang 90 minit walaupun ada antara pemain kita mengalami kecederaan namun terus beraksi,” katanya.

Sathianathan berkata, walaupun skuad Kelantan dibayangi masalah kecederaan namun itu bukan alasan untuk beliau tidak boleh menyenaraikan kesebelasan terbaik pada aksi timbal balas nanti.

“Azizi (Matt Rose) dan S Subramaniam mengalami kecederaan pangkal paha sementara Shakir (Shaari) terpaksa menerima empat jahitan kerana bertembung dengan Baddrol Bakhtiar. Akmal Rizal (Ahmad Rakhli) juga mengalami kecederaan serius pada tulang belakang.

“Saya perlu menanti keputusan imbasan daripada doktor pasukan pada hari esok (ini). Namun begitu saya tetap mengharapkan dapat menggunakan khidmat mereka semua. Begitu pun kita mempunyai pengganti yang tidak kurang hebatnya. Saya selalu tekankan bahawa prinsip asas pasukan Kelantan ialah kita tidak bergantung kepada mana-mana individu. Semuanya bermain secara berpasukan.

“Kembalinya Norshahrul (Idlan Talaha) bermakna membuka ruang kepada saya untuk mempertajamkan lagi jentera serangan Kelantan. Saya optimis mampu membawa Kelantan ke pentas perlawanan akhir Piala Malaysia minggu depan.

“Kita mempunyai kelebihan segala-galanya termasuk dari segi sokongan penonton. Saya berharap apa yang berlaku dalam kempen Piala FA musim ini tidak lagi berterusan dalam kempen Piala Malaysia ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment