Saturday, October 23, 2010

NORSHAHRUL, AKMAL RIZAL NASIB BERBEZA


KOTA BHARU – Ada nada berbeza dilontarkan oleh penyerang kebangsaan, Norshahrul IdlanTalaha dan peledak sensasi Kelantan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dalam memperkatakan peluang masing-masing membantu pasukan Kelantan mengharungi perlawanan separuh akhir kedua TM Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.

Bagi Norshahrul Idlan Talaha, ini merupakan peluang terbaik beliau mengembalikan sentuhannya setelah diketepikan dua perlawanan lalu kerana menerima kad merah ketika menentang Selangor dalam perlawanan suku akhir baru-baru ini.

NORSHAHRUL IDLAN TALAHA

“Perlawanan malam ini merupakan peluang terbaik bagi saya untuk membina semula keyakinan diri setelah kali terakhir menjaringkan gol dalam perlawanan menentang KL Plus FC diperingkat kumpulan. Pada perlawanan suku akhir menentang Selangor tempohari saya hanya berkesempatan bermain separuh masa pertama kerana dilayangkan kad merah. Jadi ini peluang terbaik bagi saya membuktikan sentuhan berbisa saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pagi semalam.

“Jentera serangan kita berada dalam keadaan terbaik dengan rangkaian penyerang bersedia meledakkan jaringan menentang Kedah malam ini kecuali Akmal Rizal (Ahmad Rakhli) yang mengalami kecederaan. Buat peminat Kelantan, saya menjanjikan aksi terbaik pada perlawanan malam ini. Saya dan rakan sepasukan cukup yakin bahawa kita mampu melakarkan kejayaan mara ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut,” katanya.

Sementara itu, penjaring terbanyak skuad Kelantan dalam kempen Piala Malaysia musim ini, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, beliau belum pasti dapat diturunkan pada perlawanan malam ini kerana mengalami kecederaan serius di bahagian tulang rusuk. 

AKMAL RIZAL AHMAD RAKHLI

“Kesakitan pada tulang rusuk masih lagi terasa. Saya tidak turun menjalani latihan hari ini (semalam). Hanya melakukan proses urutan dan melakukan ujian imbasan. Segalanya bergantung kepada latihan terakhir pagi esok (hari ini), sama ada saya boleh beraksi atau tidak.

“Saya harap dapat sembuh menjelang perlawanan malam esok (ini). Saya mahu bersama rakan-rakan membantu Kelantan layak ke perlawanan akhir. Perasaan terkilan tetap ada kalau tidak dapat beraksi cuma saya percaya sekalipun tanpa kehadiran saya, kombinasi jentera serangan diketuai Norshahrul Idlan Talaha dan Hairuddin Omar cukup bersedia menggegarkan pintu gol Kedah.

“Seperti biasa, stadium kita akan kembali penuh malam esok (ini). Saya berharap para penyokong memberi sokongan padu dari minit pertama sehingga ke akhir. Insya Allah, dengan keyakinan yang tinggi kita berharap dapat mencipta kemenangan dan kita sama-sama raikan kejayaan layak ke perlawanan akhir bersama penyokong Kelantan malam esok (ini),” katanya.

No comments:

Post a Comment