Sunday, October 24, 2010

RED WARRIORS KE FINAL LAGI


KELANTAN 1
Norshahrul Idlan Talaha (m-78)

KEDAH 0

KOTA BHARU – Naib juara Piala Malaysia musim lalu, Kelantan sekali lagi mengulangi pencapaian terbaiknya dalam tempoh 40 tahun apabila layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut setelah menyingkirkan Kedah dengan kemenangan tipis 1-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi.

Kejayaan membenam cabaran Kedah menerusi agregat 1-0 membolehkan Kelantan layak setelah pada perlawanan separuh akhir pertama di Alor Setar pada Rabu lalu, kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan. Kelantan akan bertemu juara bertahan musim lalu, Negeri Sembilan yang turut layak setelah mengalahkan Johor FC menerusi aggregat 2-1.

Musim lalu, Kelantan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia namun dikecewakan oleh Negeri Sembilan dengan kekalahan 3-1. Menariknya, perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini sekali lagi menyaksikan pertembungan ulangan seperti perlawanan akhir musim lalu apabila Kelantan bakal bertemu Negeri Sembilan pada 30 Oktober ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil. 

Beraksi dihadapan 25,000 penyokong setia Merah Putih, Kelantan mengukir impian bermakna layak ke perlawanan akhir menerusi jaringan cantik ‘inswinger’ penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha yang memerangkap penjaga gol Kedah, Mohd Helmi Eliza Elias pada m-78.

Turun tanpa sentuhan Ketua Jurulatih, B Sathianathan yang digantung selama enam bulan bermula semalam gara-gara mengeluarkan kenyataan terbuka mengkritik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), jelas para pemain Kelantan tidak mudah tertekan dengan situasi yang melanda jurulatih mereka itu.

Seawal minit kedua, Kelantan hampir berada didepan apabila larian Norshahrul Idlan Talaha berjaya mengelirukan dua pemain pertahanan Kedah namun rembatannya terkena tiang gol biarpun Mohd Helmi Eliza sudah pun tertewas.

Selang dua minit kemudian, Norshahrul Idlan yang tidak dikawal sekali lagi turut mempunyai peluang terbuka menjaringkan gol tetapi rembatannya tersasar di atas palang pintu gol pasukan pelawat.

Kedah kembali menemui rentak permainan selepas itu. Pada m-11, penyerang Mohamad Faizal Abu Bakar menemui sentuhan pertamanya apabila melakukan rembatan jarak jauh yang tersasar beberapa inci sahaja daripada pintu gol Kelantan. 

Norshahrul Idlan sekali lagi menjadi pemain yang banyak memberi masalah kepada barisan pertahanan Kedah dalam perlawanan malam tadi. Pada m-12, larian solo beliau dari sebelah kanan menyaksikan hantaran lintangnya dipersia-siakan apabila tidak ada rakan melakukan tindakan susulan biarpun pintu gol sudah ternganga.

Pada m-17, Kelantan sekali lagi mempunyai peluang kali ini menerusi rembatan kencang Ketua Pasukan, Indra Putra Mahayuddin namun terbias pertahanan pasukan Kedah. 

Kedah yang menampilkan gandingan penyerang muda diketuai Baddrol Bakhtiar dan Mohd Khyril Muhymeen Zamri seakan tidak berupaya menembusi benteng pertahanan Kelantan yang bermain cukup cemerlang malam tadi. 

Dua percubaan terbaik pasukan pelawat hadir pada m-28 dan 31 menerusi Baddrol Bakhtiar yang melakukan percubaan jarak jauh tetapi mudah diselamatkan Khairul Fahmi dan tersasar dari pintu gol Kelantan. 

Sementara sepakan percuma Indra Putra pada m-39 yang ditepis keluar Mohd Helmi Eliza menutup tirai aksi berkesudahan tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Babak kedua, aksi cemerlang pemain Kelantan kembali lesu seakan hilang punca berbanding dengan semangat juang pemain muda Sang Kenari itu yang kerap melakukan serangan balas.

Hanya percubaan pemain gantian, S Chanturu pada m-64 mengembalikan semula keyakinan penyokong setia Kelantan setelah sepakannya nyaris-nyaris menghasilkan gol apabila Shahril Faizal Ahmad Sharifuddin tertolak ke gawang sendiri namun sempat ditepis keluar Mohd Helmi Eliza.

Tempoh 20 minit terakhir menjadi petanda kebangkitan barisan pemain The Red Warriors dalam memburu tempat ke pentas perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini. Pada m-76, pemain gantian, Akmal Rizal Ahmad Rakhli gagal menyambar kemas hantaran lintang Chanturu dalam situasi didepan pintu gol Kedah.

Selang dua minit, detik kejayaan malam tadi terukir apabila sepakan sudut ‘inswinger’ yang diambil oleh Norshahrul Idlan Talaha melencong masuk ke pintu gol Kedah mengelirukan Mohd Helmi Eliza yang tertumbuk bola ke dalam gawang sendiri. 

Sementara percubaan terakhir penyerang Kedah, Baddrol Bakhtiar pada m-88 yang terus ke dakapan Khairul Fahmi menutup episod kekecewaan Sang Kenari untuk layak ke perlawanan akhir manakala tiupan wisel pengadil Syed Azhar Syed Salim pada masa tambahan membolehkan puluhan ribu penyokong setia Kelantan meraikan kejayaan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Farisham Ismail, Mohd Daudsu Jamaluddin (S Chanturu), Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid, Zairul Fitree Ishak, Muhd Badhri Radzi (Akmal Rizal Ahmad Rakhli), Indra Putra Mahayuddin (KP), Mohd Shakir Shaari (Khairan Eroza Razali), Mohd Norfarhan Muhammad,  Norshahrul Idlan Talaha dan Hairuddin Omar.
Formasi : 4-4-2 

KEDAH : Mohd Helmi Eliza Elias, Shahril Faizal Ahmad Sharifuddin, Shafizan Hashim, Khairul Helmi Johari, Fiqry Md Isa (Ahmad Shakir Ali), Mohd Sabre Mat Abu Mohamad Rozaidi Abd Rahim (Mohd Arfan Rashid), Mohamad Faizal Abu Bakar (Wan Mohd Asyraf Wan Ali), Ahmad Fauzi Shaari (KP), Baddrol Bakhtiar dan Mohd Khyril Muhymeen Zamri.
Formasi : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (4) Kedah (1)
Percubaan tersasar : Kelantan (12) Kedah (3)
Sepakan sudut : Kelantan (10) Kedah (4)
Sepakan percuma : Kelantan (20) Kedah (10)
Offsaid : Kelantan (1) Kedah (3)
Kekasaran : Kelantan (9) Kedah (14)
Kad kuning : Kelantan (Mohd Norfarhan Muhammad) Kedah (Mohd Sabre Mat Abu , Shafizan Hashim, Fiqry Md Isa)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Enam minit
Penguasaan bola : Kelantan (55%) Kedah (45%)

PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Syed Azhar Syed Salim
Penolong Pengadil 1: Mohd Hanif Abd Rahman
Penolong Pengadil 2: Azmi Khalid
Pegawai Keempat : Shamsuddin Ibrahim
General Kordinator : Arif Hassan
Komisionel Perlawanan : S Paramasivam

No comments:

Post a Comment