Saturday, October 23, 2010

KELANTAN SELANGKAH KE PENTAS AKHIR

B Sathianathan dan pembantunya Sideek Samsuddin serius memerhatikan pemain Kelantan menjalani latihan pagi semalam

KOTA BHARU – Mengambil kira prestasi semasa yang kian memuncak biarpun dihimpit dengan masalah kecederaan beberapa tonggak utama, tidak ada sebab untuk Kelantan tidak mampu menggapai impian beraksi dalam pentas perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.

Kelantan akan menentang Kedah dalam separuh akhir kedua TM Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed IV malam ini. Pada perlawanan separuh akhir pertama di Alor Setar tempohari, kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan awal-awal melaungkan keyakinan yang tinggi bahawa Kelantan tidak mahu memilih laluan sukar untuk menyingkirkan bekas juara treble, Kedah untuk mencipta kejutan di Kota Bharu.

“Kita kena mengekalkan prestasi sekarang dan bermain lebih baik daripada beberapa perlawanan terdahulu. Saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa dengan barisan pemain sedia ada, peluang kita untuk beraksi dalam pentas perlawanan akhir berpihak kepada kita,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Kalau kita buat kerja dengan baik dan bagi komitmen seratus peratus dengan sokongan moral para penyokong walau kita melakukan kesilapan dalam perlawanan sekali pun, saya harap pemain saya tidak gentar . Mereka (penyokong) mesti berada bersama dengan kita sampai habis.

“Apa yang saya minta dari pemain ialah mereka berjuang habis-habisan. Kita akan tetap buat silap tetapi yang penting pemain perlu bagi seratus peratus dalam 90 minit perlawanan. Saya yakin kita akan mara ke perlawanan akhir. Saya tidak suka nombor dua. Dah banyak kali kita nombor dua. Saya mahu kita masuk akhir dan terus julang piala,” katanya.

Sementara itu, tiga tonggak utama skuad Kelantan iaitu Azizi Matt Rose, S Subramaniam dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli hampir pasti menjadi penonton pada perlawanan malam ini setelah mengalami kecederaan yang serius dalam aksi separuh akhir pertama di Alor Setar tempohari.

“Ketiadaan tiga tonggak tidak menjejaskan perancangan saya malah pengganti mereka bermain dengan baik pada perlawanan terdahulu. Ini adalah masanya untuk pemain-pemain simpanan memainkan peranan mereka. Kita mempunyai 31 pemain dalam skuad dan dalam situasi genting sebegini kita amat memerlukan khidmat mereka.

Sathianathan berkata, kembalinya penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha ke dalam skuad setelah menjalani penggantungan dua perlawanan ternyata memberi ruang yang banyak kepada beliau untuk merencana corak serangan.

“Norshahrul (Idlan Talaha) akan membawa satu dimensi berbeza dalam menentukan corak serangan Kelantan malam ini. Saya pening kepala kerana perlu memikirkan gandingan yang sesuai untuk diletakkan diposisi serangan. Kita ada Akmal Rizal (Ahmad Rakhli) sekiranya beliau pulih dari kecederaan, Norshahrul (Idlan Talaha), Hairuddin (Omar) dan jangan lupa kita juga ada S Chanturu.

“Ini satu keputusan yang sukar bagi saya menentukan gandingan terbaik. Walau apa pun, sesiapa yang diturunkan malam esok (ini), saya percaya mereka akan bermain dengan baik.

Sementara itu, Sathianathan mengakui para pemain Kelantan kini sudah cukup bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal sekiranya diheret bermain sehingga ke masa tambahan.

“Kita pernah bermain beberapa perlawanan dalam masa yang singkat. Saya percaya mereka kini bersedia sepenuhnya untuk bermain lebih daripada waktu sebenar. Saya hanya mampu berdoa semoga pemain tidak mengalami kecederaan,” katanya.

1 comment: