Saturday, October 16, 2010

LALUAN SUKAR MENANTI SELANGOR - SATHIA



KOTA BHARU – ‘Laluan sukar menanti Selangor’. Begitulah pesanan ringkas Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan kepada rakan sejawatannya dalam menanti kunjungan Selangor pada pertemuan suku akhir kedua TM Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.

Sambil kedua-dua pengendali pasukan mempunyai keyakinan yang tersendiri mampu membawa pasukan masing-masing ke peringkat separuh akhir, Sathianathan yang memasuki musim kedua membimbing Kelantan sekali lagi mahu mengulangi pencapaian musim lalu membawa Kelantan ke pentas perlawanan akhir.

“Kelebihan kini berpihak kepada kita. Saya ulangi, tidak mudah bagi Selangor untuk bermain di Kota Bharu kali ini. Mereka akan bermain di sini (Stadium Sultan Muhammed IV) dan bukan di Stadium Shah Alam. Ini gelanggang keramat kita, saya tidak rela Kelantan tumbang dan saya mahu penyokong menjadi saksi tersungkurnya Selangor di Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Tidak ada penyokong mereka yang akan datang ke sini. Jadi kita mempunyai kelebihan segala-galanya dari segi sokongan penyokong. Mereka akan menghadapi tekanan bermain dihadapan puluhan ribu penyokong setia Kelantan. Adakalanya faktor penyokong menjadi penentu kejayaan sesebuah pasukan,” katanya.

Sathianathan berkata, walaupun Kelantan akan turun tanpa Norshahrul Idlan Talaha yang digantung perlawanan tetapi itu tidak menjejaskan perancangan beliau dalam menentukan kesebelasan terbaik yang membarisi Kelantan malam ini. 

Ketiadaan penyerang sensasi, Norshahrul Idlan Talaha tidak menjejaskan perancangan B Sathianathan menghadapi Selangor malam ini.

“Memang kita kehilangan seorang penyerang yang berkaliber tetapi tidak bermakna kita tidak boleh bemain dengan baik. Tanpa beliau sekali pun kita yakin mampu memberi tentangan sengit. Kelantan akan turun bermain sebagai satu pasukan dan kita tidak bergantung kepada individu semata-mata.

“Saya yakin mampu membawa Kelantan ke peringkat separuh akhir. Sudah pasti kita mengharapkan satu keputusan yang baik diperolehi malam ini. Anda dapat lihat bagaimana kita mampu mencatatkan keputusan seri di Shah Alam tempohari. Bukan semua pasukan mampu memperolehi keputusan seperti itu. Dan Kelantan telah membuktikan mampu mengikat Selangor dengan keputusan itu,” katanya.

Menurut Sathianathan, beliau menagih aksi terbaik daripada beberapa pemain berpengalaman seperti Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad, Muhd Badhri Radzi dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli dalam perlawanan malam ini.

“Kita perlu lupa dua kekalahan (tewas kepada Kedah dalam saingan Piala FA dan Negeri Sembilan dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia) di tempat sendiri sepanjang musim ini, sebaliknya mereka (pemain) perlu membuktikan kepada semua pihak bahawa kita merupakan sebuah pasukan yang digeruni setiap kali beraksi di Kota Bharu.

Andai keputusan perlawanan malam ini berlarutan sehingga masa tambahan dan berkesudahan seri tanpa jaringan, maka penentuan menerusi sepakan penalti akan diputuskan bagi mencari pemenang mutlak ke peringkat separuh akhir.

Namun begitu,  sekiranya keputusan malam ini berkesudahan terikat seri dengan jumlah jaringan tertentu, maka Selangor wajar diberi penghormatan melangkah ke separuh akhir berdasarkan peraturan gol ditempat lawan.

No comments:

Post a Comment