Sokongan peminat Kelantan dijangka menjadi faktor utama kebangkitan pasukan Kelantan menentang Selangor malam ini
KOTA BHARU – Pertembungan ulangan Kelantan menentang Selangor dalam suku akhir kedua TM Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini sekali lagi pasti menjadi tumpuan peminat bola sepak di seluruh tanah air.
Bukan soal insiden kekecohan penyokong yang dinantikan malam ini kerana langkah keselamatan sudah pun dipertingkatkan dengan kerahan seramai 500 anggota keselamatan sudah bersiap sedia memastikan keseluruhan perjalanan perlawanan malam ini berlangsung dengan sempurna.
Sebaliknya, hanya menanti satu keputusan sama ada dua musuh tradisi bola sepak tempatan, pasukan Kelantan atau Selangor yang layak diberi penghormatan mengisi salah satu slot ke peringkat separuh akhir nanti.
Biarpun insiden pergaduhan penyokong kedua-dua pasukan masih lagi hangat diperkatakan, namun aksi 90 minit kedua-dua pasukan bakal menentukan pasukan manakah yang layak mengisi slot itu.
Bagi Selangor sendiri, mereka tidak mahu berputih mata lagi dalam misi memburu kejuaraan kali ke-33. Musim lalu, dalam peringkat suku akhir, mereka ditunjukkan jalan keluar oleh Terengganu menerusi sepakan penalti 5-4 di Kuala Terengganu.
Kekecewaan musim lalu masih lagi menjadi igauan ngeri buat K E Devan setelah pemain pertahanan, Mohd Nasriq Baharom gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam perlawanan tersebut.
Dalam mengharungi pusingan kalah mati seperti ini, rekod cemerlang Selangor dalam peringkat kumpulan sudah tidak diambil kira. Pasukan yang menunjukkan prestasi yang terbaik, meminimumkan kesilapan dan memperolehi gol awal mungkin berhak dinobatkan sebagai pemenang.
Sementara bagi Kelantan, ini merupakan satu-satunya peluang terbaik untuk mendakap piala setelah tersingkir lebih awal di pusingan kedua kempen Piala FA dan sekadar muncul berpuashati dengan gelaran naib juara Liga Super musim ini.
Bagi B Sathianathan, ini merupakan satu-satunya peluang terbaik bagi beliau menebus kekecewaan musim ini. Para pemain Kelantan menyedari hanya noktah kemenangan bakal memadam api kemarahan peminat Kelantan sendiri sebelum ini.
Namun begitu, bola itu bulat dan dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku. Baik Kelantan mahu pun Selangor, kedua-dua pasukan berhak mendabik dada mengatakan pasukan masing-masing mempunyai peluang ke peringkat separuh akhir.
Mungkin 90 minit perlawanan malam ini bakal menentukan pasukan manakah yang layak atau sekiranya kedua-dua pasukan tetap berdegil tidak mahu menjaringkan gol, maka penentuan menerusi sepakan penalti menjadi kata putus meletakkan Kelantan atau Selangor sebagai pasukan mutlak menjejakkan kaki ke peringkat separuh akhir musim ini.
No comments:
Post a Comment