Saturday, October 16, 2010

SELANGOR MILIKI KELEBIHAN - DEVAN

K E Devan

KOTA BHARU – Keputusan seri tanpa jaringan di Shah Alam tempohari hari sedikit pun tidak menggusarkan jurulatih Selangor, K E Devan dalam menghitung untung nasib peluang pasukannya untuk ke peringkat separuh akhir TM Piala Malaysia musim ini.

Tanpa menghiraukan sokongan puluhan ribu penyokong Kelantan malam ini, beliau secara optimis cukup yakin mampu membawa pasukan bimbingannya ke peringkat separuh akhir buat pertama kali sejak melatih Selangor tahun lalu.

“Peluang masih terbuka buat kami. Selangor mempunyai kelebihan berbanding Kelantan. Sebagai tuan rumah, tekanan sudah pasti berpihak kepada Kelantan dan tidak kepada kami,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Memang betul kita seri tanpa jaringan di Shah Alam, dan kalau kita dapat sekurang-kurang keputusan seri 1-1 di Kota Bharu, bermakna kita layak berdasarkan peraturan gol ditempat lawan. Kalau masih lagi seri tanpa jaringan, kita tetap akan bermain dalam masa tambahan. Saya melihat Kelantan menghadapi tekanan pada perlawanan malam ini kerana gagal menjaringkan gol di Shah Alam tenpohari.

“Gelanggang keramat mereka sudah tidak lagi kebal sekarang. Mereka banyak bolos gol ditempat sendiri. KL Plus FC boleh menjaringkan tiga gol begitu juga Negeri Sembilan menang di Kota Bharu. Jadi, sebagai pasukan bergelar juara liga musim ini, saya tidak nampak mengapa Selangor tidak boleh melakukan perkara yang sama,” katanya.

Devan berkata, posisi tonggak pertahanan P Gunalan yang digantung perlawanan kerana menerima kad merah tempohari akan diisi oleh seorang lagi pemain berpengalaman, Mohd Asraruddin Putra Omar.

“Kita tidak menghadapi masalah mencari pengganti beliau kerana Mohd Asraruddin (Putra Omar) dilihat calon sesuai mengisi kekosongan tersebut. Berbanding dengan Kelantan yang jelas kehilangan penyerang utama, Norshahrul (Idlan Talaha) itu merupakan satu tamparan yang hebat bagi mereka.

“Saya cukup yakin Selangor mampu mencipta kemenangan dalam perlawanan malam ini dan seterusnya membawa ke peringkat separuh akhir,” katanya.

Sementara itu, disebalik kebanjiran puluhan ribu penyokong setia Kelantan pada perlawanan malam ini, tumpuan Devan tidak terjejas dengan pelbagai provokasi ke atas pasukannya dan tetap memberi fokus kepada persembahan anak-anak buahnya selama 90 minit diatas padang.

No comments:

Post a Comment