Monday, October 18, 2010

KAFA KESAN TIKET PALSU

Annuar Musa menunjukkan keratan beberapa keping tiket palsu yang dirampas oleh pihak Kafa ketika perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia, Kelantan menentang Selangor tempohari.

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengesan kegiatan tiket palsu masih lagi berleluasa ketika perlawanan suku akhir kedua TM Piala Malaysia, Kelantan menentang Selangor di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu pada Jumaat lalu.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, kegiatan tersebut dikesan setelah petugas bahagian tiket di pintu masuk stadium melakukan pemeriksaan sebaik sahaja perlawanan tersebut tamat.

“Kita tidak mempunyai angka yang tepat dari segi rampasan tersebut, namun yang pastinya ianya dalam kuantiti yang banyak,” katanya ketika sidang akhbar di Kota Bharu semalam.

“Mengambil iktibar daripada perkara ini,  kita akan menambahkan jumlah petugas disetiap pintu masuk daripada 12 kepada 15 orang yang terdiri daripada anggota RELA, PDRM, petugas Kafa serta daripada pihak perbadanan stadium sendiri sebagai persediaan perlawanan separuh akhir kedua Sabtu ini.

“Kawalan ketat tetap diadakan dan sekiranya terdapat tiket palsu yang dikesan pada pintu masuk itu juga, para penyokong tidak dibenarkan masuk,” katanya.

Annuar berkata, pihak Kafa juga akan mengadakan satu sesi pemeriksaan kaunter bagi mengesan berapa jumlah tiket yang dijual serta berapa jumlah penyokong yang memasuki stadium.

“Ini bagi mengelakkan berlakunya limpahan penyokong yang memasuki stadium berbanding dengan kapasiti sebenar stadium ini. Kita tidak mahu situasi limpahan penyokong berlaku di Kota Bharu kali ini.

“Kita juga tidak menggalakkan kanak-kanak hadir ke stadium. Tetapi itu tidak bermaksud kita menghalang mereka untuk datang. Mereka yang datang bersama penjaga masing-masing perlu membeli pas yang berharga RM5 bagi membolehkan mereka memasuki stadium.

“Begitu juga dengan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang hendak datang ke stadium, mereka perlu memaklumkan kepada pihak Kafa,” katanya.

Annuar juga turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong Kelantan yang memberikan kerjasama terbaik dan menunjukkan disiplin yang tinggi ketika perlawanan Kelantan menentang Selangor tempoh hari.

No comments:

Post a Comment