Annuar Musa (kanan) meninjau keadaan di kaunter tiket diperkarangan Stadium Sultan Muhammed IV
KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan meningkatkan tahap keselamatan termasuk dari segi sistem penjualan tiket menjelang perlawanan separuh akhir kedua TM Piala Malaysia, Kelantan menentang Kedah di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam esok.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebagai tuan rumah pihak Kafa perlu mengambil langkah tambahan terutamanya dengan kehadiran jumlah penyokong yang begitu ramai bagi mengelakkan sebarang insiden buruk berlaku.
“Pihak Kafa tidak memandang mudah perkara itu. Kita telah membuat semakan terhadap soal keselamatan di stadium termasuk dari segi urusan penjualan tiket perlawanan bagi perlawanan separuh akhir TM Piala Malaysia malam esok,” katanya dalam sidang akhbar, baru-baru ini.
“Pihak Kafa dengan kerjasama Perbadanan Stadium Kelantan (PSK), pasukan keselamatan dan jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan telah bermesyuarat dan memutuskan untuk mengambil beberapa langkah tambahan bagi mempertingkatkan tahap keselamatan di stadium.
“Berdasarkan perlawanan dengan Selangor tempohari, saya berterima kasih kepada penyokong-penyokong Kelantan yang telah menunjukkan satu kerjasama yang baik dan pada masa yang sama menafikan sangkaan pihak tertentu sebelum ini. Saya ingin melihat Stadium Sultan Muhammed IV menjadi venue yang ‘zero incident’ tanpa balingan mercun mahupun objek terlarang.
“Sistem penjualan tiket juga akan diubah dimana kita akan menambah bilangan anggota keselamatan bagi tujuan keselamatan orang ramai. Pagar keselamatan akan ditempatkan dikawasan hadapan kaunter tiket. Mereka perlu beratur jarak 20 meter dari kaunter. Hanya empat orang dibenarkan beratur dihadapan kaunter tiket pada satu-satu masa.
Annuar berkata, pihak anggota keselamatan juga akan melakukan pemeriksaan badan paling ketat terhadap setiap penonton yang memasuki stadium.
“Kita akan mempastikan tahap keselamatan pada perlawanan ini berada dalam tahap tertinggi. Bagi memastikan bahan terlarang seperti mercun, botol minuman dibawa masuk ke dalam stadium, pihak anggota keselamatan akan melakukan pemeriksaan badan terhadap penonton. Kita tidak mahu insiden membaling batu-bata seperti yang terjadi di Kangar pada perlawanan suku akhir lalu terjadi di sini.
“Saya juga mengarahkan semua jalan di sekeliling kawasan stadium ini dikosongkan bagi membolehkan laluan tersebut tidak dihalang sekiranya berlaku hal kecemasan. Aliran pergerakan keluar penyokong dari stadium sejurus perlawanan berakhir juga akan dipantau bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Menurut Annuar, beliau juga telah mengarahkan pihak Kafa merakamkan secara video bermula daripada waktu penjualan tiket perlawanan sehingga kepada suasana penyokong mula memasuki stadium.
“Kita serius memantau perkara ini. Kita akan terus mengkaji dengan teliti sebarang kelemahan sekiranya berlaku dalam situasi tersebut. Saya juga mengingatkan kepada semua penyokong untuk mengelakkan daripada membeli tiket dengan orang tengah,” katanya.
No comments:
Post a Comment