Saturday, October 16, 2010

KAFA RAYU JAGA TINGKAH LAKU


Annuar (kanan) menyampaikan sumbangan daripada pihak Kafa kepada Mek Som Hamat, ibu kepada arwah Che Karma Sulaiman yang meninggal duniadi Shah Alam tempohari.

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) merayu kepada para penyokong Kelantan untuk menjaga tingkah laku ketika menonton perlawanan Kelantan menentang Selangor dalam suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.

Presidennya Tan Sri Annuar Musa berkata, bagi memastikan perlawanan malam ini berlangsung dengan baik, pihak Kafa telah mendapatkan bantuan seramai 500 anggota keselamatan bagi tujuan itu.

“Saya hendak mengingatkan kepada para penyokong menjaga tingkah laku semasa menyaksikan perlawanan malam ini. Sekiranya berlaku kacau ganggu ketika perlawanan berlangsung melbatkan perkara-perkara melampaui batas, maka perlawanan terpaksa dihentikan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan pihak Kafa kepada keluarga seorang penyokong Kelantan yang meninggal dunia di Bachok semalam.

“Akibat daripada itu, kita sebagai tuan rumah dipertanggungjawabkan dan mungkin perlawanan terpaksa diadakan digelanggang luar. Kita sedia maklum tidak mempunyai stadium kedua. Ini akibatnya sekiranya kejadian buruk ini terjadi di Kota Bharu.

“Para pemain juga ada menyebut konsentrasi mereka agak terganggu ketika beraksi dengan ledakan mercun yang dibaling oleh para penyokong kita sendiri.

Menurut Annuar, kalau para penyokong benar-benar sayang kepada bola sepak Kelantan, mereka hendaklah memberi sokongan dengan cara yang betul dengan memperkuatkan lagi semangat para pemain dan bukan dengan cara menimbulkan gangguan yang menjejaskan rentak perlawanan.

Pihak Kafa juga menyambut baik hasrat baik pihak Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan para penyokongnya membatalkan kunjugan mereka ke Stadium Sultan Muhammed IV bagi menyaksikan perlawanan itu.


“Saya berterima kasih kepada FAS yang memahami keadaan dan situasi di Kota Bharu. Saya telah membuat penjelasan kepada pihak mereka tentang beberapa kesukaran yang dihadapi terutama dari segi aspek penguatkuasaan keselamatan.

Sementara itu, Annuar Musa mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Che Karma Sulaiman,39 tahun, penyokong bola sepak Kelantan yang meninggalkan dunia akibat sesak nafas selepas menonton perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia, pertemuan Selangor menentang Kelantan di Shah Alam Ahad lalu.

“Saya difahamkan arwah merupakan seorang penyokong setia Kelantan dan sumbangan RM3,000 ini merupakan sumbangan ikhlas daripada pihak Kafa selain daripada sumbangan daripada FAS selepas ini kepada keluarga awrah,” katanya.

No comments:

Post a Comment