Monday, October 18, 2010

STADIUM BAKAL BERUBAH WAJAH


Annuar Musa (tiga,kanan) meninjau keadaan tempat duduk berbumbung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu akan berubah wajah pada tahun depan apabila dilengkapi dengan papan keputusan elektronik yang baru menggantikan papan keputusan sedia ada sekarang.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, dianggarkan lebih RM1 juta diperlukan bagi memasang papan keputusan elektronik di stadium itu bagi menggantikan papan keputusan lama yang usang dan jauh ketinggalan zaman.

“Peruntukkan lebih RM1 juta itu diluluskan oleh kerajaan Pusat melalui kerajaan negeri. Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menguruskan soal tender dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu semalam.

“Kerja-kerja pemasangan papan keputusan elektronik baru itu dijangka akan dimulakan pada bulan Disember ini. Kita berharap ianya dapat digunakan bermula liga musim depan.

Menurut Annuar, pihak Kafa turut mempunyai cadangan penambahbaikan antaranya berharap pihak kerajaan negeri dapat mengkaji kemungkinan membina satu teres bertingkat dibahagian tempat duduk astaka dan tempat duduk terbuka berhadapan astaka.

“Tidak perlu peruntukkan yang besar bagi tujuan itu. Tidak perlu berpuluh-puluh juta, memadai sekitar lima hingga enam juta sahaja. Jumlah kerusi boleh ditambah sekitar 10 ribu, saya fikir itu tidak ada apa-apa masalah.

“Saya yakin kerajaan negeri ada kemampuan untuk melaksanakannya. Harap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan kerana kerajaan pusat tidak boleh buat sebab stadium ini adalah milik Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) dibawah kerajaan negeri.

Sementara itu, Annuar berkata, pihak Kafa sedia menilai satu opsyen untuk dikemukakan kepada kerajaan negeri berkaitan pengambilalihan pengurusan stadium tersebut.

“Oleh kerana sekarang  kita membayar kepada kerajaan negeri mungkin sudah melebihi setengah juta, Kafa ingin membuat tawaran untuk menguruskan Stadium Sultan Muhammed IV pada musim akan datang.

“Sekiranya kerajaan negeri tidak ada keupayaan melakukan penambahbaikan, maka Kafa bersedia mengambil satu opsyen untuk menguruskan stadium termasuk menambah kapasiti tempat duduk, termasuk mengadakan kemudahan-kemudahan yang wajib seperti bilik persalinan, lampu limpah  berdasarkan peraturan FAM untuk pasukan yang bertanding musim depan.

“Kemudahan di stadium kita masih banyak tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan kita berharap ianya dapat selesaikan menjelang bulan Disember. Untuk itu kita menawarkan opsyen kepada kerajaan negeri melakukan penambahbaikan dengan kita terus mengekalkanmembayar levi kepada mereka dan alternatif kedua, pihak Kafa menguruskan stadium dengan melakukan penambahbaikan sendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment