Sunday, September 5, 2010

SASARAN JUARA PIALA MALAYSIA - SATHIA


B Sathianathan menuntut para pemainnya mengorbankan cuti demi kempen Piala Malaysia tidak lama lagi.

KOTA BHARU – Sasaran juara Piala Malaysia. Itulah pilihan yang ada bagi pengendali skuad bola sepak Kelantan, B Sathianathan setelah pasukannya terlepas beberapa gelaran kejuaraan sejak musim lalu.

“Kalau dah tahun lepas kita jadi naib juara Piala Malaysia, tahun ini naib juara Liga Super, jadi apa lagi pilihan kita ada melainkan memburu kejuaraan (Piala Malaysia),” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Sathianathan berkata, para pemainnya kini giat menjalani latihan keras setiap malam dan bermula minggu depan semua pemain akan meneruskan latihan insentif mempertingkatkan pelbagai aspek yang menghantui kelemahan pasukan sebelum ini.

“Saya berpuas hati dengan kecergasan para pemain Kelantan. Mereka semua telah melaksanakan ‘kerja rumah’ dengan cemerlang setakat ini.

Ditanya mengenai kemasukan pemain baru dari Perlis, K Soley, Sathianathan enggan membincang perkara tersebut sebaliknya menegaskan perancangan untuk saingan Piala Malaysia begitu penting bagi beliau ketika ini.

“Itu merupakan perancangan pihak Kafa untuk tahun akan datang, saya lebih suka membincangkan perkara berkaitan musim ini.

“Selepas perlawanan persahabatan pertama menentang UiTM FC baru-baru ini, saya banyak menumpukan kepada latihan pergerakan di atas padang dan juga melakukan hantaran-hantaran tepat. Itu kelemahan yang sedang saya diatasi.

“Jadi, perlawanan kedua menentang T-Team merupakan perlawanan bagi saya untuk memcari barisan bayangan yang akan diturunkan pada perlawanan menentang Negeri Sembilan nanti,” katanya.

Menyentuh kemasukan kembali penjaga gol, Mohd Shahrizan Ismail ke dalam pasukan Kelantan, Sathianathan menyambut baik berita tersebut dan menyifatkan ianya satu perkembangan yang positif bagi skuad Kelantan.

“Memang Mohd Shahrizan (Ismail) seorang penjaga gol yang berpengalaman dan kita amat memerlukan khidmatnya. Pada masa yang sama, saya juga bersedia menurunkan muka-muka baru dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia nanti sekiranya kita telah mengesahkan tempat lebih awal layak ke peringkat suku akhir,” katanya.

No comments:

Post a Comment