Sunday, September 5, 2010

HATI SAYA UNTUK KELANTAN - SOLEY


 K SOLEY

KOTA BHARU – Hati saya untuk Kelantan. Demikian pengakuan ikhlas bekas pemain tengah kanan Perlis musim ini, K Soley ketika ditanya mengenai minat beliau memilih untuk beraksi bersama dengan Kelantan dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

“Saya sudah lama teringin untuk beraksi bersama dengan Kelantan. Jadi kedatangan ini di atas kepercayaan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dan juga kepercayaan peminat bola sepak Kelantan sendiri ,” katanya ketika ditemui ketika sidang akhbar dalam satu majlis berbuka puasa anjuran Kafa semalam.

“Walaupun ada beberapa pasukan lain menawarkan kontrak kepada saya, bagi saya pilihan yang terbaik ialah pasukan Kelantan.

“Saya ada sasaran untuk bersama dengan Kelantan, sekurang-kurangnya saya mahu menjulang satu piala sepanjang saya mewakili Kelantan,” katanya.

Soley berkata, antara tarikan utama mengapa beliau memilih beraksi bersama Kelantan ialah kerana faktor penyokongnya disamping komitmen yang jitu yang ditunjukkan oleh pihak pengurusan Kelantan sendiri menjadi landasan yang sesuai bagi beliau meneruskan karier bola sepaknya.

“Penyokong Kelantan lebih fanatik berbanding dengan penyokong negeri kelahiran saya (Kedah). Saya tidak ada tekanan disebalik gelagat penyokong seperti ini kerana saya pernah melaluinya sewaktu bermain bersama dengan Kedah.

“Apa yang penting, sebagai pemain bola sepak kita perlu mesra dengan mana-mana peminat. Mereka semua berada dibelakang kita memberi sokongan, jadi mengapa harus untuk kita tidak boleh mendekati mereka,” katanya.

Pemain import tempatan terbaru Kelantan, K Soley diperkenalkan kepada Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dalam satu majlis di Kota Bharu baru-baru ini.

Ditanya mengenai persaingan yang bakal dihadapinya merebut posisinya, beliau melihat perkara itu merupakan satu persaingan yang sihat dikalangan pemain-pemain Kelantan sendiri.

“Bagi saya itu semua persaingan yang sihat dalam mana-mana pasukan, tetapi kedatangan saya ini disertai dengan semangat kerja berpasukan yang tinggi. Yang selebihnya terpulang kepada jurulatih yang akan menentukannya.

“Sebagai pemain bola sepak professional, saya perlu mengikut arahan yang ditetapkan oleh jurulatih dan apa yang lebih penting semangat berpasukan lebih diutamakan berbanding individu.

Aksi lincah K Soley tidak asing lagi kerana beliau pernah mengenali beberapa rakan dalam pasukan Kelantan yang lain seperti Indra Putra Mahayuddin, Zairul Fitree Ishak dan S Subramaniam sewaktu beliau dipanggil menjalani latihan bersama skuad kebangsaan tidak dalam dulu.

K Soley memulakan karier bola sepaknya bersama dengan Kedah bermula pada tahun 2002 sehingga 2007 sebelum mengambil keputusan meneruskan kerjayanya bersama Singa Utara pada tahun berikutnya.

No comments:

Post a Comment