Sunday, September 5, 2010

SAINGAN SENGIT MENANTI KELANTAN - ANNUAR


 TAN SRI ANNUAR MUSA

KOTA BHARU – Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mengingatkan kepada kesemua pemain Kelantan untuk terus mengekalkan tahap kecergasan yang tinggi bagi mengharungi saingan sengit dalam kempen Piala Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi.

“Saingan Piala Malaysia cukup sengit kerana terpaksa dihabiskan dalam tempoh tidak sampai dua bulan. Justeru, semua pemain dituntut mengambil langkah sewajarnya mengekalkan tahap kecergasan masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis pemberian bonus kepada pemain bola sepak Kelantan petang semalam.

“Mereka harus mengekalkan kekuatan stamina dan saya telah difahamkan pihak pengurusan telah menyediakan ‘supper’ atau makan malam untuk tengah malam kepada pemain sejurus latihan berakhir setiap malam,” katanya.

“Menjalani latihan di bulan Ramadan ini menguji kesabaran para pemain. Mereka perlu maklum,  tidak boleh mengalami dehidrasi yang berlebihan kerana itu sudah pasti.

Annuar berkata, kegagalan menjuarai Liga Super dan Piala FA musim ini merupakan satu tamparan yang cukup hebat buat pasukan The Red Warriors justeru beliau menuntut kebangkitan aksi pemain Kelantan dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

“Perlawanan pertama menentang Negeri Sembilan merupakan satu perlawanan yang cukup penting. Sebab itu para pemain hanya diberi cuti rehat yang singkat pada perayaan ini.

“Kelantan harus menjadi pasukan yang agresif dalam saingan kali ini. Kita perlu menjaringkan gol seberapa banyak yang mungkin dan sudah pasti kita mengharapkan sentuhan penyudah yang terbaik dalam saingan kali ini,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) turut  memperkenalkan bekas pemain Perlis musim ini, K Soley yang bakal menyarung jersi The Red Warriors pada musim depan.

“Sebenarnya, pada musim lepas lagi kita pernah berunding dengan beliau, tetapi memandangkan beliau masih mempunyai kontrak bersama dengan Perlis,  maka kita terpaksa mematuhi perkara tersebut.
Pertembungan dua finalis Piala Malaysia musim lalu dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan menjanjikan aksi paling sengit

“Beliau berminat untuk bermain dengan Kelantan sejak musim lepas lagi. Apabila kontraknya telah tamat bulan Julai lalu, beliau serba salah untuk bersama dengan Perlis kerana terpaksa menandatangani kontrak yang baru sedangkan minatnya adalah bersama dengan Kelantan.

“Sedangkan kita pula masih terlalu awal untuk mendapatkan khidmat beliau, kita kena bayar gaji sahaja tanpa bermain. Mengambil kira kedua-dua faktor, maka beliau turut bersetuju untuk menyertai latihan latihan awal.

“Malah pada tahun ini sebaik sahaja Piala Malaysia berakhir, kita akan akan terus menjalani pra musim bagi persiapan tahun depan. Jadi elok bagi beliau terus menjalani latihan bersama dengan Kelantan.

Bekas pemain tengah Perlis yang mengikat kontrak selama dua tahun itu dijangka memulakan latihan pertamanya bersama skuad Kelantan pada 15 September ini.

No comments:

Post a Comment