Thursday, August 5, 2010

PELUANG KELAB TEMPATAN SERTAI KEJOHANAN


 ARIF HASSAN

KOTA BHARU – Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Kelantan akan menganjurkan Kejohanan Liga Antara Kelab yang dijangka bermula pada 18 September depan.

Penolong Setiausaha Agung Kafa, Arif Hassan berkata, penyertaan adalah terbuka kepada mana-mana kelab di seluruh negeri Kelantan.

“Setiap kelab boleh mendaftar seramai empat pegawai sementara jumlah pemain yang boleh didaftarkan ialah antara 18 hingga 22 orang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Pemain yang beraksi dalam Liga Super, Liga Perdana dan Piala FAM yang masih dalam pendaftaran FAM pada tahun ini tidak dibenarkan beraksi dan kelayakan jurulatih yang melatih kelab mestilah mempunyai sekurang-kurangnya Lesen C FAM.

Tujuan utama kejohanan liga ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada kelab-kelab yang merupakan ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) bermain di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Arif berkata, tarikh akhir pengesahan penyertaan dan pendaftaran pemain serta pegawai pasukan ialah pada 15 Ogos ini  sementara majlis undian pula akan dilakukan pada 19 Ogos jam lima petang di Wisma Kafa.

“Kejohanan ini dijangka bermula pada 18 September nanti dan pihak JKPT Kafa akan memutuskan gelanggang perlawanan kemudian nanti.

“Pasukan yang berminat menyertai kejohanan ini boleh menyertakan yuran penyertaan sebanyak RM150 dan disertakan sekali deposit RM500,” katanya.

Menurut Arif, pihak JPKT menyenaraikan dua pilihan format pertandingan bagi kejohanan ini, iaitu pada pusingan pertama akan dimainkan dalam liga satu pusingan manakala pusingan kedua dan seterusnya dimainkan secara kalah mati.

Sementara format kedua ianya dimainkan secara kalah mati dua pusingan (lawan yang sama), dan pusingan seterusnya kalah mati satu pusingan sehingga perlawanan akhir. 

Hadiah wang tunai RM10,000 bakal menanti kepada pasukan yang muncul juara pada kejohanan ini, sementara naib juara akan meraih RM7,000. Tempat ketiga dan keempat masing-masing akan membawa pulang RM4,000 dan RM2,000.

Bagi mana-mana kelab yang berminat menyertai kejohanan ini, boleh mendapatkan borang penyertaan di Wisma Kafa (09 – 766 6360) atau menghubungi Setiausaha PBJ masing-masing.

No comments:

Post a Comment