Sunday, July 11, 2010

RED GIANT HAMPIR TERSUNGKUR


Sebahagian penyokong setia Kelantan meraikan gol penyamaan yang
dijaringkan oleh ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin.

SELANGOR 1
Amirulhadi Zainal (m-59)

KELANTAN 1
Indra Putra Mahayuddin (m-64)

SHAH ALAM – Rekod cemerlang Selangor digelanggang sendiri sepanjang musim ini hampir tercalar setelah dipaksa seri 1-1 dengan Kelantan dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam tadi.

Beraksi dihadapan hampir 40,000 penonton, dimana hampir separuh daripada angka itu didominasikan oleh bala ‘tentera baju merah’,  kedua-dua pasukan menyajikan aksi paling menarik pernah disaksikan sepanjang Liga Super musim ini berlangsung.

Ibarat pentas perlawanan akhir, Selangor tanpa pengendali K Devan dibangku simpanan seakan hilang arah pada minit-minit awal permainan menerusi asakan menggila pemain Kelantan yang dilihat tidak kekok beraksi digelanggang lawan.

Seawal minit kelima, Selangor mula mengacah dahulu menerusi sepakan sudut Mohd Shafiq Rahim yang mencemaskan pintu gol Kelantan tetapi ditumbuk keluar Khairul Fahmi Che Mat.

Minit kesembilan, ketua pasukan, Mohd Amri Yahyah yang berjaya melepasi perangkap offsaid pertahanan Kelantan, seharusnya meletakkan tuan rumah dihadapan tetapi kuisannya terlalu tinggi melepasi menjangkaui pintu gol Kelantan

Minit ke-15, Kelantan seharusnya dihadiahkan sepakan penalti setelah Muhd Badhri Radzi dikasari oleh Khairul Anuar  Baharum didalam kotak  penalti tetapi dinafikan oleh pengadil perlawanan.

Minit ke-23, Kelantan mempunyai peluang terbaik untuk berada didepan menerusi Mohd Norfarhan Muhammad tetapi rembatannya ditepis keluar Mohd Hamsani Ahmad.

Sementara pada minit ke-31, Amri Yahyah sekali lagi meneruskan ancaman berbahaya beliau di depan pintu gol Kelantan apabila rembatan terdahulu Amirulhadi yang ditepis oleh Khairul Fahmi disambar oleh beliau yang menyaksikan tindakan susulannya sekali lagi diselamatkan oleh penjaga gol Kelantan itu.

Sementara percubaan jarak jauh 35 meter, Mohd Badhri pada minit ke-35 yang tersasar daripada pintu gol Selangor menutup tirai aksi tanpa jaringan separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan yang masih mengekalkan kesebelasan utama pemain dilihat mula mengasak mengatur serangan bertali arus melali gerakan di sebelah kanan dan kiri pintu gol.

Stadium Shah Alam bergema dengan sorakan penyokong setia Merah Kuning pada minit ke-59, setelah rembatan volley Amirulhadi tepat menerjah jaring pintu gol Kelantan.

Gol tersebut berpunca setelah hantaran lintang rakan sepasukannya ditampan kemas oleh Amirul didalam kotak penalti, seterusnya meledak volley menarik yang memerangkap penjaga gol Kelantan.

Minit ke-62, Liew Kit Kong hampir menambah gol kedua untuk Selangor tetapi tandukkannya hasil sepakan sudut rakan sepasukan diselamatkan Mohd Farisham Ismail diatas garisan gol Kelantan.

Enggan menyerah kalah, The Red Warriors bangkit mencari gol  penyamaan. Minit ke-64, ketua pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin melenyapkan kegembiraan penyokong tuan rumah apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk Kelantan. 
Ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin meraikan jaringan
gol penyamaannya dengan cara yang tersendiri

Hantaran lintang oleh Mohd Norfarhan Muhammad daripada sebelah kanan pintu gol Selangor disudahi dengan tandukan tajam ke penjuru kanan pintu gol Selangor menewaskan Mohd Hamsani Ahmad.

Minit ke-75, Kelantan seharusnya memperolehi gol kedua menerusi pemain gantian, Hairuddin Omar. Kesilapan P Gunalan menampan bola dengan kemas hampir menghukum tuan rumah apabila Hairuddin Omar yang berjaya merampas bola sekadar melakukan kuisan yang lemah mudah diselamatkan oleh Mohd Hamsani.

Sementara dua peluang terbaik pasukan tuan rumah selepas itu hadir pada minit ke-76 dan 81 perlawanan menerusi percubaan Mohd Safee Mohd Sali tetapi diselamatkan oleh Khairul Fahmi yang beraksi cemerlang untuk Kelantan malam tadi.

Kelantan turut mempunyai peluang terbaik pada minit ke-82 dan 88 menerusi tandukan Mohd Norfarhan dan Hairuddin Omar yang menyaksikan ianya sekadar tersasar dan mudah diselamatkan oleh Mohd Hamsani.

Disebalik asakan menggila pemain Kelantan, pemain muda Selangor pula mencemaskan ribuan penyokong Kelantan apabila percubaan pemain gantian mereka, Rudie Ramli dan R Surendran diselamatkan oleh Khairul Fahmi pada minit-minit akhir masa tambahan.

Kesebelasan utama pemain :

SELANGOR : Mohd Hamsani Ahmad, Khairul Anuar Baharum, Mohd Razman Roslan, Mohd Nasriq Baharom (Rudie Ramli), P Gunalan, Safiq Rahim, Mohd Amri Yahyah (KP), Mohd Bunyamin Umar, Amirulhadi Zainal, Liew Kit Kong (R Surendran) dan Mohd Safee Mohd Sali (Mohd Asraruddin Putra Omar)

Formasi : 4-5-1

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Azizi Matt Rose, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Farisham Ismail, S Subramaniam, Muhd Badhri Radzi (Khairan Eroza Razali), Indra Putra Mahayuddin (KP), Mohd Shakir Shaari, Mohd Norfarhan Muhammad, Norshahrul Idlan Talaha (Hairuddin Omar) dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli (S Chanturu).

Formasi : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Selangor (7) Kelantan (5)
Percubaan tersasar : Selangor (2) Kelantan (6)
Sepakan sudut : Selangor (10) Kelantan (4)
Sepakan percuma : Selangor (10) Kelantan (14)
Offsaid : Selangor (7) Kelantan (0)
Kekasaran : Selangor (12) Kelantan (10)
Kad kuning : Selangor (Mohd Bunyamin Umar, Mohd Amri Yahyah) Kelantan ( Mohd Shakir Shaari)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Enam minit
Penguasaan bola : Selangor (48%) Kelantan (52%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Shokri Noor
Penolong Pengadil 1: Azman Ismail
Penolong Pengadil 2: Mazlan Mat Desa
Pegawai Keempat : Mohd Sabri Mat Daud
General Kordinator : Suhairi Rahman
Komissioner Perlawanan : Ahmad Fuad Daud

No comments:

Post a Comment