Saturday, July 10, 2010

GANJARAN KHAS MENANTI PEMAIN KELANTAN


 TAN SRI ANNUAR MUSA
KOTA BHARU – Ganjaran khas kini menanti para pemain Kelantan sekiranya mampu membawa pulang trofi kejuaraan Liga Super buat pertama kali ke bumi negeri Kelantan. 

Begitu pun, ranjau berduri berbaki lima perlawanan perlu ditempuhi dengan sukar termasuk pertemuan menentang peneraju takhta liga, Selangor di Stadium Shah Alam malam ini. 

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, setiap kali mencipta kemenangan, pemain-pemain Kelantan akan mendapat ganjaran mengikut penarafan perlawanan yang ditetapkan oleh pihak Kafa. 

“Perlawanan menentang Selangor agak unik, ianya ibarat perlawanan akhir bagi kedua-dua pasukan merebut kejuaraan liga,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam. 

“Kalau Selangor menang, sudah pasti sukar untuk kita mengejar kejuaraan, sebaliknya kalau Kelantan dapat mengalahkan Selangor, kejuaraan liga akan dapat kita capai dengan berbaki empat perlawanan itu. 

“Semua pemain tahu bahawa apabila kita memenangi kejuaraan Liga Super sama seperti Kelantan memenangi kejuaraan Piala FA atau Piala Malaysia,” katanya. 

Annuar berkata, pihak Kafa akan memberikan ganjaran khas kepada semua pemain sekiranya mampu memenangi kejuaraan liga pada musim ini.

“Walau pun kita ketinggalan agak jauh (dari segi pungutan mata), tetapi kita tidak menyerah kalah sebaliknya apa yang kita lakukan selama ini telah membuahkan hasil. 

“Saya mahu pemain berfikiran positif, memberi tumpuan yang penuh disamping menyusun strategi khas bagi menghadapi perlawanan ini. 

“Walaupun K Devan ada menyatakan kelebihan memihak kepada pasukannya kerana bermain ditempat sendiri, tetapi rekod Kelantan sama ada bermain di Kota Bharu mahupun di luar adalah cemerlang,” katanya. 

Menurut Annuar, pada masa yang pemain Kelantan turut mempunyai kelebihan biarpun beraksi di Shah Alam kerana penyokong Kelantan sememangnya cukup ramai di Lembah Klang.

"Pertemuan menentang Selangor hadir tepat pada masanya dengan perlawanan dilangsungkan pada hujung minggu. Kita tidak ada pilihan selain perlu mengalahkan mereka (Selangor) di Shah Alam." katanya.

No comments:

Post a Comment