Thursday, July 1, 2010

KELANTAN RATAH ATM


Pemain pertahanan import, Jan Necas melakukan rembatan ke pintu gol ATM
dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium MPS,  Selayang malam semalam.

KOTA BHARU – Kelantan mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas pasukan Liga Perdana, ATM pada perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium MPS, Selayang malam semalam.

Gol-gol kemenangan The Red Warriors dijaringkan oleh ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan berkata, beliau gembira dengan peningkatan persembahan keseluruhan pemain Kelantan pada perlawanan itu.

“Memang masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki kalau melihat kepada aksi perlawanan ini, saya berharap masalah ini berakhir sebelum kita bertemu Negeri Sembilan nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Kita akan beri penekanan melakukan set piece dengan betul disamping latihan sepakan sudut didalam latihan selepas ini.

“Apa yang kita harapkan, pemain Kelantan dapat menunjukkan keupayaan yang sebenar pada perlawanan persahabatan terakhir menentang Harimau Muda pada malam esok (ini).

Kelantan akan bertemu skuad Harimau Muda pada perlawanan persahabatan terakhir di Stadium MPS, Selayang malam ini.

Pada perlawanan malam semalam, B Sathianathan mengekalkan hampir keseluruhan kesebelasan utama pemain sepanjang  65 minit perlawanan.

“Selepas minit ke-65, barulah saya membuat beberapa pertukaran pemain bagi memberi ruang kepada beberapa pemain simpanan beraksi disamping merehatkan beberapa pemain utama.

“Saya berharap kesebelasan utama pemain itu mampu beraksi selama 90 minit pada perlawanan menentang Harimau Muda malam esok (ini). 

Sementara itu, B Sathianathan sudah menemui calon yang sesuai untuk menggantikan Azizi Matt Rose diposisi pertahanan itu.

“Rizal Fahmi (Abd Rosid) mempamerkan persembahan yang baik dalam dua perlawanan persahabatan ini. Walaupun dilihat kurang cergas, saya percaya beliau mampu mempamerkan peningkatan pada perlawanan akan datang.

B Sathianathan turut memuji persembahan yang ditunjukkan penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat yang kembali menyarung jersi Kelantan setelah selesai menjalani latihan pusat bersama skuad kebangsaan.

“Jurulatih kebangsaan, K Rajagobal turut memuji komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Khairul Fahmi (Che Mat) sewaktu bersama skuad kebangsaan mengadakan perlawanan persahabatan di Turki baru-baru ini.

“Ini satu petanda yang baik dan saya berharap bukan hanya Khairul Fahmi (Che Mat) dan Norshahrul (Idlan Talaha) sahaja yang mampu menyarung jersi skuad kebangsaan, pemain Kelantan yang lain juga berpotensi untuk bersama skuad kebangsaan,” katanya.

1 comment:

  1. male nie keno gi tgk di stadium selayang tuh

    ReplyDelete