Sunday, July 4, 2010

KARNIVAL THE RED WARRIORS 23 HINGGA 27 JULAI INI


Tuan Mohd Hashim Tuan Yaakob (berbaju biru) mempengerusikan mesyuarat
sempena program Karnival The Red Warrior yang akan diadakan pada 23 hingga 27 Julai ini.

KOTA BHARU – Karnival The Red Warriors yang akan dilangsungkan pada 23 hingga 27 Julai ini di perkarangan Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu dijangka menarik seramai 100,000 pengunjung dari seluruh pelusuk negeri Kelantan.

Karnival bertemakan ‘Menjadi Medan Himpun Temu Berlandaskan Populariti Pasukan The Red Warriors’ merupakan julung kali diadakan oleh persatuan bola sepak negeri di negara ini dan akan mencipta sejarah yang tersendiri dari segi penganjurannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kafa, Tuan Mohd Hashim Tuan Yaakob berkata, karnival ini dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) selaras dengan pelancaran Tahun Bola Sepak Kelantan (TBSK) pada tahun ini.

“Karnival ini akan berlangsung bermula 23 sehingga 27 Julai, dan kita menjangkakan hampir 100,000 pengunjung akan mengunjungi karnival selama lima hari ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Karnival yang berlangsung selama lima hari itu sarat dengan pelbagai program dan aktiviti menarik khusus kepada semua pengunjung . Dianggarkan lebih daripada 300 booth merangkumi pelbagai agensi kerajaan, syarikat korporat, syarikat swasta dan orang perseorangan terlibat menjayakan karnival itu.

“Menariknya kali ini, satu perlawanan bola sepak membabitkan lagenda bola sepak Kelantan menentang lagenda bola sepak Selangor akan turut diadakan bersempena dengan karnival ini.

“Antara program lainyang akan diadakan berasaskan bola sepak seperti pertandingan menimang bola, penjualan merchandise keluaran Kafa, pertandingan masakan resipi The Red Warrior disamping kalendar The Red Warrior turut dijual dengan harga yang istimewa sepanjang karnival ini berlangsung,”

Menurut Tuan Mohd Hashim, para pengunjung juga berpeluang beramah mesra bersama pemain Liga Super Kelantan dalam beberapa sesi tertentu disamping berpeluang bergambar bersama dengan pemain bola sepak Kelantan.

“Selain daripada itu, beberapa acara seperti pertandingan dikir barat peringkat sekolah, persembahan bacaan puisi perjuangan The Red Warrior sempena kekejaman rejim zionis  ke atas Gaza turut melibatkan pemuisi dan tetamu kehormat, cabutan bertuah, pencarian ‘badang’ Kelantan, persembahan keluarga dan banyak lagi,” katanya.

“Majlis perasmian dijangka akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan Belia, Insan, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Abdul Fattah Mahmood pada 23 Julai nanti manakala majlis perasmian penutup dijangka disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek,” katanya.

No comments:

Post a Comment