Sunday, May 23, 2010

KELANTAN BAHAM SINGA UTARA

Pemain Kelantan meraikan gol pertama menerusi sepakan penalti Norshahrul Idlan Talaha

KELANTAN
Norshahrul Idlan Talaha (pen m-29)
S Chanturu (m-34)

PERLIS 1
Wan Khairul Faiz Kamaruddin (m50)

KOTA BHARU – Kelantan mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Perlis pada perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam tadi.

Biarpun beraksi dihadapan hampir 25,000 penyokong sendiri, aksi lesu pemain Kelantan hampir mengundang padah apabila pasukan pelawat dilihat menguasai hampir keseluruhan permainan babak kedua.

Minit-minit awal permainan menyaksikan penguasaan pasukan tuan rumah yang mengasak bertali arus menerusi rangkaian Norshahrul Idlan Talaha dan S Chanturu.

Minit ke-10, sepakan percuma Muhd Badhri Radzi sekadar terus ke dakapan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias. Sementara percubaan Mohd Daudsu lima minit kemudian juga mudah diselamatkan oleh penjaga gol Perlis itu.

Kelantan berada dihadapan pada minit ke-29 menerusi sepakan penalti yang mudah disempurnakan oleh Norshahrul Idlan Talaha.

Tindakan ketua pasukan Perlis, Mohd Fauzie Nan menjatuhkan Mohd Norfarhan Muhammad dalam kotak penalti memaksa pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti itu kepada pasukan tuan rumah.  

Minit ke-34, S Chanturu sekali lagi menceriakan penyokong Merah Putih apabila meledak gol kedua untuk Kelantan. Gol tersebut terhasil apabila hantaran lintang Mohd Daudsu dari sebelah kiri pintu gol Perlis mudah disempurnakan menerusi rembatan jarak jauh beliau.

Sementara pada minit -38, rembatan Mohd Norfarhan Muhammad pula mudah ditepis keluar oleh Mohd Farizal Marlias.

Bersambung babak kedua, segalanya terserlah apabila  aksi lesu pemain Kelantan yang dilihat gagal mengawal tempo permainan membolehkan pasukan pelawat menguasai babak permainan.

Hasilnya pada minit ke-50, pasukan Singa Utara berjaya merapatkan jurang gol menerusi rembatan jarak dekat Wan Khairul Faiz Kamaruddin yang berjaya melepasi kekangan pertahanan Kelantan.

Minit ke-72, percubaan Mohd Faiz Subri  hanya tersasar beberapa inci daripada pintu gol Kelantan.

Sementara itu, minit ke-75,  Mohd Azrul Ahmad turut berpeluang untuk menyamakan kedudukan tetapi rembatannya sedikit tersasar daripada pintu gol Kelantan.

Percaturan B Sathianathan memasukkan Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Hairuddin Omar dilihat tidak banyak membantu jentera serangan Kelantan dalam usaha menambah jaringan.

Percubaan terakhir Kelantan menerusi pemain gantian, Hairuddin Omar pada minit ke-88 menerusi tandukan yang tersasar menutup tirai kemenangan mutlak Kelantan ke atas Singa Utara malam tadi.

Kemenangan 2-1 ke atas Perlis itu menyaksikan Kelantan kekal menghuni tangga kedua liga dengan mengumpul 38 mata mengekori rapat pendahulu liga, Selangor yang mengumpul 44 mata setakat ini.

Ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin cuba melepasi kekangan
Mohd Fauzie Nan dan Mohd Hazrul Mustafa.

KESEBELASAN UTAMA PEMAIN :

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Azizi Matt Rose (Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid), S Subramaniam, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Farisham Ismail, Mohd Shakir Shaari Indra Putra Mahayuddin (KP), Mohd Norfarhan Muhammad, Muhd Badhri Radzi (Akmal Rizal Ahmad Rakhli), S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha (Hairuddin Omar).

Formasi : 4-4-2

PERLIS : Mohd Farizal Marlias, Mohd Faiz Subri (Wan Mohd Shukri Wan Ahmad), Mohd Fauzie Nan (KP), Zuraindey Jumai, Mazlizam Mohamad, Amar Rohidan, Mohd Badrul Azam Zamri (Shariman Che Omar), K Soley, Mohd Hazrul Mustafa, Wan Khairul Faiz, dan  Ahmad Aminuddin (Mohd Azrul Ahmad).

Formasi : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (5) Perlis (1)
Percubaan tersasar : Kelantan (3) Perlis (4)
Sepakan sudut : Kelantan (13) Perlis (2)
Sepakan percuma : Kelantan (9) Perlis (10)
Offsaid : Kelantan (2) Perlis (2)
Kekasaran : Kelantan (8) Perlis (7)
Kad kuning : Kelantan (Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Daudsu Jamaluddin)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : Lima minit
Penguasaan bola : Kelantan ( 55%) Perlis (45 %)

No comments:

Post a Comment