Thursday, May 27, 2010

Kafe TRWS satu mercu tanda baru Kafa

Annuar (dua dari kanan) bersama Ahmad Shabery dan menunjukkan
produk keluaran Kafa yang dijual di kafe TRWS@KTC.
 
KOTA BHARU – Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berharap pembukaan rasmi kafe The Red Warrior Station@KTC dan pelancaran radio rasmi The Red Warriors (TRW.fm) mampu menjadi sebahagian daripada titik tolak kepada kebangkitan bola sepak Kelantan pada tahun ini.

“Perasmian kafe ini dan perlancaran radio TRW.fm membuktikan satu lagi kejayaan pihak Kafa dalam merakyatkan sukan bola sepak di negeri Kelantan,” katanya sewaktu berucap.

“Siaran radio TRW.fm ini boleh didengar seantero dunia kerana kita sebenarnya mempunyai ramai peminat bola sepak Kelantan yang tinggal diseluruh pelusuk dunia.

“Sebelum ini, kita pernah melancarkan kelab-kelab penyokong diseluruh daerah di negeri Kelantan, di Lembah Kelang mahupun di Kedah dan juga Perak. Menarik lagi kita juga mempunyai laman web rasmi theredwarrior.com dan laman web penyokong siber iaitu Kelate.net.

“Laman web rasmi theredwarrior.com kini menjadi laman web paling popular di negara kita kerana mencatatkan jumlah pengunjung yang begitu tinggi setakat ini,’katanya.

Annuar berkata, kejayaan Kelantan menduduki tangga kedua liga setakat ini menunjukkan usaha gigih pihak Kafa untuk memastikan hasrat merangkul kejuaraan liga pada musim ini tercapai.

“Kita merupakan pasukan yang tidak pernah tewas, kecuali sekali di Kota Bharu angkara gol sendiri. Kita juga tidak pernah tewas apabila bermain di gelanggang luar. Insya Allah, kita mampu mengekalkan kecemerlangan ini.

Menyentuh mengenai kewujudan kafe itu, Annuar berkata, pihak Kafa bercadang membuka satu cawangan di Lembah Kelang dan mungkin juga di Manchester United, England sekiranya ianya mendapat sambutan menggalakkan.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Siti Hamidah Hamat, selaku Pengarah Urusan TRWS@KTC yang berjaya membuka kafe ini. Juga ucapan terima kasih saya kepada Exco Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri Kelantan, Abdul Fatah Mahmood yang banyak membantu pihak Kafa selama ini,”katanya.

No comments:

Post a Comment