Wednesday, November 11, 2009

SOKONG MEMBAWA REBAH

Kekalahan Kelantan kepada Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu lalu harus diterima dengan terbuka oleh penyokong setia Kelantan.

Rentetan kekalahan tersebut maka bermacam-macam versi mula kedengaran ; yakni pasukan Kelantan dituduh menjual perlawanan, habuan yang terlalu lumayan serta berbagai lagi cerita yang kurang enak didengar.

Tekanan bermain untuk menang bagi setiap perlawanan tetap ada apatah lagi di pentas akhir Piala Malaysia. Inilah bola sepak, pasukan yang meminimakan kesilapan layak dinobatkan sebagai juara. Dan Negeri Sembilan sememangnya layak menjuarai kejuaraan tersebut.

Mereka bermain dengan baik, menguasai segenap posisi berbanding aksi lesu tidak menjadi hampir keseluruhan pemain Kelantan.

Kemenangan tetap kemenangan. Bagi pasukan Negeri Sembilan mereka membuktikan bahawa mereka berada didalam kelasnya yang tersendiri untuk muncul juara.

Bagi pasukan Kelantan, kita harus menerima hakikat bahawa percubaan pertama kita untuk mendakap piala selepas kempunan 39 tahun terhenti setakat itu sahaja.

Tetapi yang amat dikesalinya, mentaliti sebahagian penyokong Kelantan yang tidak boleh menerima kekalahan tersebut. Insiden membakar mercun, membaling objek mewarnai hampir keseluruhan aksi Piala Malaysia musim ini.

Tidak cukup dengan itu, kain rentang gergasi turut dikoyak. Lebih malang lagi harta awam – kerusi stadium turut dibakar.

Disaat kita baru sahaja ketinggalan dua gol, stadium yang melimpah ruah itu sedikit demi sedikit mula menjadi lengang angkara kecewa dengan persembahan dibawah keupayaan yang sebenar pemain Kelantan.

Perilaku segelintir penyokong Kelantan ini cukup memalukan. Apakah ini merupakan satu budaya baru bagi peminat setia Kelantan – setiap kali melibatkan perlawanan maka kita harus membakar mercun dan membaling objek ke tengah padang.

Jangan salahkan orang lain apabila kita digelar penyokong tidak bertamadun, penyokong yang suka mencetuskan keganasan andaikata tindak-tanduk kita sendiri menjurus kepada perkara sedemikian. Dimanakah kesetiaan kita kepada negeri sendiri ?

Nampak gayanya penyokong Kelantan tidak pernah mengambil pengajaran diatas insiden rusuhan penyokong pada bulan April lalu.

Amat malang bagi bola sepak Kelantan, disaat bola sepak kita sudahpun menapak selangkah demi selangkah untuk muncul sebagai kuasa baru bola sepak di Malaysia tetapi sikap para penyokong yang umpama ‘ sokong membawa rebah’ terus menjadi bahan sindiran peminat bola sepak di Malaysia.

1 comment:

  1. Tolong la ulas skit harga kerusi plastik stadium berharga RM500 seunit (laporan kosmo 11/11/2009). Tok sey panggil nuar SPRM kor?

    ReplyDelete