Sunday, November 8, 2009

KEPUTUSAN PERLAWANAN AKHIR PIALA MALAYSIA 2009

RED WARRIORS KEMPUNAN LAGI


KELANTAN 1
Indra Putra Mahayuddin (m90)

NEGERI SEMBILAN 3
Shahurain Abu Samah (m-18)
Hairudin Omar (m-46)
Mohd Zaquan Adha (m-58)

Statistik Perlawanan

Percubaan tepat : Kelantan 3 dan Negeri Sembilan 4
Percubaan tersasar : Kelantan 1 dan Negeri Sembilan 4
Sepakan percuma : Kelantan 13 dan Negeri Sembilan 16
Kekasaran : Kelantan 15 dan Negeri Sembilan 13
Tendangan sudut : Kelantan 3 dan Negeri Sembilan 7
Offsaid : Kelantan 2 dan Negeri Sembilan 2
Kad Kuning : Kelantan 3 (Indra Putra Mahayuddin, Mohd Zamri dan Mohd Daudsu)
Negeri Sembilan 4 (Mohd Alif Samsudin, Idris Abd Karim,S.Kunanlan dan Mohd Rahman Zabul)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : 7 minit
Penguasaan bola : Kelantan 45 % dan Negeri Sembilan 55%

Tetamu Kehormat : Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan Pemangku Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Hari : Sabtu
Tarikh : 7hb November 2009
Penonton : 85,000 orang
Venue : Stadium Nasional, Bukit Jalil


Penyokong Red Warriors takluki Stadium Nasional Bukit Jalil buat kali kedua musim ini.

BUKIT JALIL – Negeri Sembilan menamatkan kemarau selama 61 tahun merangkul kejuaraan Piala Malaysia edisi kali ke-83 setelah membenamkan cabaran Kelantan dengan kemenangan 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Kali terakhir Negeri Sembilan berjaya menjulang piala paling berprestij di Asia ialah pada tahun 1948 sementara kekalahan Kelantan pada perlawanan ini sekali lagi mengesahkan percubaan kali ketiga ini selepas 1955 dan 1970 membutirkan kehampaan buat penyokong setia Merah Putih.

Beraksi dihadapan 85,000 orang – jumlah penonton direkodkan paling tinggi setakat ini dalam pentas akhir, jelas Kelantan bermain dibawah tahap keupayaan yang sebenarnya.

Seawal minit ke-7, Kelantan memperolehi sepakan percuma apabila Mohd Nizab Ayub dijatuhkan. Sepakan ketua pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin yang tertampan pertahanan Negeri Sembilan sekadar dipandang bersahaja oleh Mohd Farizal Harun.

Perlawanan selepas itu menyaksikan lebih penguasaan oleh jentera tengah Negeri Sembilan melalui ketua pasukan, Rezal Zambery Yahya, Idris Karim, Shahurain Abu Samah dan Mohd Alif Samsuddin.

Seawal minit ke-18, segala-galanya keterlanjangan aksi serba tidak menjadi barisan pemain Kelantan mula terserlah.

Kesilapan bek kiri, Mohd Zamri Ramli gagal mengeluarkan bola daripada kawasan merbahaya memberi peluang kepada Shahurain Abu Samah menghukum kealpaan benteng pertahanan Kelantan. Rembatan padunya tepat menerjah jaring penjuru kanan pintu gol Kelantan menewaskan Mohd Halim Napi.


Perlawanan akhir Kelantan melawan Negeri Sembilan dicemari dengan insiden penyokong Kelantan membakar mercun.


Aksi membosankan yang disajikan oleh kedua-dua pasukan selepas itu tidak banyak menarik perhatian puluhan ribu penyokong setia kedua-dua pasukan tetapi insiden membakar mercun terutama oleh penyokong Kelantan mula mengambil tempat.

Hanya tiga percubaan menarik melalui pemain pinjaman Negeri Sembilan, Hairudin Omar pada minit ke-36, 42 dan 44 menyaksikan dua daripadanya tersasar sambil satu lagi percubaan mudah diselamatkan oleh Mohd Halim Napi.

Bersambung separuh masa kedua, percaturan taktikal B.Sathianathan memasukkan sekali gus dua penyerang veteran – Muhammad Khalid Jamlus dan Che Hisamuddin Hassan bagi memperkuatkan jentera serangan yang dilihat tidak menjadi.

Baru sahaja babak kedua bersambung, Hairudin Omar yang berjaya melepasi perangkap offsaid menanduk masuk hantaran jauh Mohd Zaquan Adha menewaskan Mohd Halim buat kali kedua.

Gol kedua Negeri Sembilan ternyata telah membunuh semangat juang para pemain Kelantan. Sentuhan ketua pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayudin dan Mohd NorFarhan Muhammad kian tidak menjadi – rentetan jentera tengah Kelantan yang lumpuh seawal separuh masa pertama lagi.

Minit ke-58, Mohd Zamri Ramli sekali lagi melakukan kesilapan – kali ini menjatuhkan Shahurain Abu Samah dalam kotak penalti.

Mohd Zaquan Adha mudah menyempurnakan sepakan penalti tersebut merembat kencang sebelah kiri pintu gol Kelantan.

Ketinggalan 0-3, segala-galanya terserlah sikap fanatik dan tidak bertamadun penyokong Kelantan. Tidak cukup insiden membakar mercun dan membaling botol kali ini kain rentang gergasi dikoyak dan kerusi stadium mula dibakar.

Selesa dengan kelebihan tiga gol, pemain Negeri Sembilan mula memperlahankan rentak permainan. Sementara jentera serangan Kelantan kian tertekan merapatkan jurang gol.

Minit-minit akhir masa kecederaan, Kelantan berjaya memperolehi gol saguhati. Sepakan percuma yang diambil oleh Indra Putra Mahayuddin dari jarak 30 meter tepat menerjah jaring kiri pintu gol Negeri Sembilan.

Tiupan wisel pengadil, Mohd Yusof Mat Karim seminit selepas itu menyaksikan laungan Hobin Jang Hobin terus bergema meraikan kejayaan merangkul kejuaraan Piala Malaysia selepas 61 tahun kejuaraan pertama.

Sementara itu, barisan pemain Red Warriors terkulai hampa di bangku simpanan – juga suasana di Stadium Nasional menyaksikan puluhan ribu penyokong setia Red Warriors sudah pun berarak keluar kali kedua musim ini sekadar berpuashati dengan gelaran naib juara.

Kesebelasan Utama Pemain :

KELANTAN : Mohd Halim Napi, Mohd Rizal Fahmi Abd. Rosid, Mohd Nazrulerwan Makmor, Mohd Farisham Ismail (Zairul Fitree Ishak), Mohd Zamri Ramli, Khairan Eroza Razali, Indra Putra Mahayuddin (KP), NorHisham Hassan (Che Hisamuddin Hassan), Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Nor Farhan Muhammad dan Mohd Nizab Ayub (Muhammad Khalid Jamlus).

Ketua Jurulatih : B.Sathianathan

Formasi : 4-4-2

NEGERI SEMBILAN : Mohd Farizal Harun, Mohd Shukor Adan, Mohd Aidil Zakuan Abd. Radzak, Ching Hong Aik, Mohd Alif Samsudin, S.Kunanlan, Shahurain Abu Samah (Mohd Rahman Zabul), Idris Abd. Karim, Rezal Zambery Yahya (KP), Hairudin Omar dan Mohd Zaquan Adha Abd. Radzak (Abdul Halim Zainal).


Ketua Jurulatih : Wan Jamak Wan Hassan

Formasi : 4-4-2


Pengawai Perlawanan

Pengadil : Mohd Yusof Mat Karim
Penolong Pengadil 1 : Mohd Sabri Mat Daud
Penolong Pengadil 2 : Mohd Mazlan Mat Desa
Pegawai Keempat : Shokri Nor
General Koordinator : Haji Ahmad Fuad Daud
Kommisioner Perlawanan : Wan Mohd Nizam Wan Omar
Kordinator Pengadil : Anuar Salim Abdul Moen

3 comments: