Monday, January 16, 2012

BUTLER TAK TUNDUK TEKANAN

KOTA BHARU – Meskipun berdepan kritikan hebat oleh penyokong setia Kelantan sendiri, namun Ketua Jurulatih, Peter Butler nyata tidak sesekali tunduk dengan sebarang tekanan rentetan kegagalan mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Ahmad Shah, Sabtu lalu.
 
Menyifatkan itu sebahagian daripada asam garam selaku seorang jurulatih, Butler menegaskan beliau tidak mempunyai masalah sejak mengambil alih tugas sebagai Ketua Jurulatih The Red Warriors tiga bulan lalu.
 
“Saya tidak peduli dengan sebarang kritikan yang dilemparkan ke atas saya. Saya datang ke sini untuk melatih pasukan Kelantan dan saya bertanggungjawab sepenuhnya jatuh bangun pasukan ini,” katanya ketika di temui Sinar Harian semalam.
 
“Mereka (peminat) berhak membuat penilaian dan saya menghormati segala pandang mereka. Tetapi saya ada pandangan tersendiri mengenai perkara ini. Kalau telahan mereka benar, saya bertanggungjawab dengan apa yang berlaku.
 
“Saya tidak takut kepada sebarang tekanan. Dalam bola sepak tekanan sentiasa ada. Saya seorang jurulatih profesional dan sudah berkecimpung dalam bidang ini sejak 18 tahun lalu,” katanya.
 
Menurut Butler, peminat perlu faham kerana pasukan Kelantan sebenarnya mempunyai ramai pemain yang berkualiti dan sentiasa bekerja keras untuk memperbaiki setiap kelemahan yang ada.
 
“Tekanan adalah perkara biasa dalam bola sepak dan sebagai jurulatih saya sentiasa bersedia dengan perkara tersebut. Sebab itulah saya sedia menjadi jurulatih dan ia sebahagian lumrah dalam bola sepak,” katanya.
 
Mengulas mengenai kegagalan beliau mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) apabila kempunan mempertahankan kejuaraan dalam perlawanan Sumbangsih baru-baru ini, Butler jelas mempunyai jawapan tersendiri menepis persoalan tersebut.
 
“Saya tidak berjanji untuk meraih semua piala pada musim ini. Apa yang saya janjikan ialah kerja keras dan semua pemain mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan. Saya selalu cakap kita mesti yakin Kelantan mampu menjadi juara.
 
“Tidak adil menghukum pasukan kita pada masa sekarang sedangkan saingan liga baru sahaja bermula. Awal-awal lagi penyokong sudah kecewa dan saya faham situasi tersebut. Sebagai manusia, saya pun tidak terkecuali merasai kekecewaan itu. 
 
“Kalau mahu pasukan menjadi lebih kuat, kita mesti stabil dalam semua aspek. Jadi saya harap peminat dapat bantu saya dan pemain dengan memberikan sokongan padu dan bukan dengan cara mencaci jika mereka beraksi di bawah tahap sebenar. Saya hormat penyokong, jika mereka mahu menang kita pun mahu menang,” katanya.

No comments:

Post a Comment