Saturday, January 21, 2012

KELANTAN TAK PANDANG MUDAH


KOTA BHARU – Penyandang juara, Kelantan tetap tidak memandang mudah pertemuan menentang Kedah dalam aksi tunggal perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata, meskipun skuad Sang Kenari masih tercari-cari rentak kemenangan namun mereka sebuah pasukan yang kuat dan mampu menghadirkan kejutan dalam saingan liga musim ini.

“Kedah merupakan sebuah pasukan yang kuat dan kita tetap menghormati keupayaan mereka lebih-lebih lagi beraksi di hadapan penyokong mereka sendiri. Saya mengakui tidak mudah bagi kita apabila beraksi di Stadium Darul Aman,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Sudah pasti mereka mahu bangkit dalam perlawanan ini dan menjadikan Kelantan sebagai mangsa pertama mereka. Saya perhatikan cuma nasib tidak menyebelahi mereka apabila sekadar mencatatkan keputusan seri dalam dua perlawanan lalu.

“Selaku juara bertahan sudah pasti mereka akan sedaya-upaya mahu mengalahkan kita. Jadi malam ini kita akan tampil barisan terkuat bagi menghadapi Sang Kenari. Tiga mata ini cukup penting bagi kita mengukuhkan kedudukan di persada liga,” katanya.

Mengulas mengenai gandingan Norshahrul Idlan Talaha dan Mohammed Ghaddar yang masih belum menampakkan ketajaman di bahagian serangan The Red Warriors, Azman mengakui situasi tersebut cukup merisaukan beliau dan berharap pengendali pasukan, Peter Butler dapat mengatasi masalah tersebut dalam masa terdekat.

“Memang kalau diperhatikan dalam dua perlawanan terakhir, gandingan mereka kurang menjadi. Mereka nampak masih belum serasi lagi sedangkan kita sudah mengharungi tiga perlawanan.

“Mereka tidak boleh terlalu menonjol dengan kemahiran individu sebaliknya perlu beraksi secara semangat sepasukan. Saya berharap kita dapat lihat gandingan mereka berdua menjadi pada perlawanan malam ini.

Sementara itu, Azman turut memberi peringatan kepada barisan pertahanan Kelantan tidak mengulangi kesilapan mudah membenarkan pasukan lawan menjaringkan gol sebagaimana berlaku dalam pertemuan kedua menentang PKNS FC baru-baru ini.

“Seharusnya mereka beraksi lebih yakin apabila kita menjaringkan gol. Tetapi sebaliknya berlaku apabila mereka dilihat mudah tertekan setiap kali lawan melakukan serangan untuk memburu gol penyamaan sehinggakan membenarkan pintu gol kita dibolosi.

“Dalam bola sepak, kesilapan yang berlaku seperti inilah boleh meragut kita untuk meraih tiga mata. Jadi saya berharap benteng pertahanan kita tidak mengulangi kesilapan yang sama pada malam ini,” katanya. 

No comments:

Post a Comment