Saturday, October 1, 2011

NORSHAHRUL TAMBAH YAKIN

KOTA BHARU – Dua gol menerusi jaringan penyerang sensasi, Norshahrul Idlan Talaha dalam pertemuan menentang KL Felda United FC malam semalam memberi isyarat bahawa beliau kini begitu dahagakan jaringan dan bersedia mengulangi perkara yang sama dalam saingan suku akhir kempen Piala Malaysia tidak lama lagi.

Juara bertahan, Kelantan akan menentang musuh tradisinya, Terengganu di Kuala Terengganu pada 10 Oktober depan sementara aksi timbal balik di Kota Bharu pula akan berlangsung empat hari kemudian.

Norshahrul Idlan atau lebih disapa dengan panggilan Matyo mengakui dua gol yang disumbangkan beliau dalam perlawanan tersebut mencetuskan keyakinan baru bagi beliau dalam menghadapi pasukan yang pernah menafikan hajat Kelantan untuk menjulang kejuaraan Piala FA buat pertama kali pertengahan Jun lalu.

“Saya gembira dan bersyukur diatas kemenangan 2-0 mengatasi KL Felda United FC di tempat sendiri malam ini. Kemenangan ini meletakkan kita selaku juara kumpulan C dan akan bertemu Terengganu dalam peringkat suku akhir selepas ini,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.

“Melihat kepada barisan yang diturunkan malam ini, memang jurulatih terpaksa membuat rombakan kerana kita kehilangan lima tonggak utama. Jadi ramai pemain simpanan yang lama tak beraksi diturunkan malam ini.

“Kalau diperhatikan persefahaman diantara pemain kurang mantap pada babak pertama, kita lambat untuk menemui rentak. Namun pada babak kedua, barulah kita berjaya menemui rentak perlawanan dan berjaya menjaringkan dua gol pada perlawanan ini,” katanya.

Malah Norshahrul Idlan turut mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan lain yang membantu beliau menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut. Umpanan Mohd Shakir Shaari dan Mohd Izuan Salahuddin dimanfaatkan dengan sebaiknya dengan menjaringkan kedua-dua gol untuk The Red Warriors.

Mengulas mengenai pertemuan menentang Terengganu pada saingan suku akhir nanti, Norshahrul Idlan berharap rakan sepasukannya dapat mengekalkan aksi konsisten bagi meneruskan rentak cemerlang Kelantan dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

“Selepas melepasi peringkat kumpulan, sasaran saya ialah untuk mara ke separuh akhir pula. Kita perlu fikir satu persatu dan saya tidak mahu mengimpikan perkara yang terlalu jauh ke depan.

“Kita akan main di Kuala Terengganu terlebih dahulu. Saya fikir itu merupakan satu kelebihan buat kita sebelum membuat perhitungan berikutnya di Kota Bharu. Saya harap kita dapat mengekalkan rekod cemerlang ketika beraksi di sana bagi menambahkan keyakinan pasukan pada suku akhir kedua nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment