Saturday, October 1, 2011

KELANTAN SEDIA HADAPI TERENGGANU

ANNUAR

KOTA BHARU – Rantau berduri menanti juara bertahan, Kelantan apabila memulakan saingan suku akhir kempen Piala Malaysia musim ini dengan bertemu musuh tradisi, Terengganu di tempat lawan pada 10 Oktober ini.

Bukan sengaja menempah bala, namun itulah hakikat terpaksa yang ditempuh oleh kedua-dua pasukan, betapa perseteruan dua negeri berjiran itu tidak dapat dielakkan dan berlaku lebih awal dalam perebutan piala paling berprestij negara itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, selaku juara bertahan, Kelantan perlu membuat persiapan awal bagi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu dan Terengganu merupakan salah satu pasukan yang berpotensi besar untuk menafikan hajat The Red Warriors pada saingan kali ini.

“Takdir menentukan segala-galanya apabila juara Liga Super, Kelantan dan juara Piala FA, Terengganu dipertemukan lebih awal diperingkat suku akhir. Suka atau tidak bagi kedua-dua pasukan ini, mereka perlu menempuhi ranjau ini,” katanya dalam sidang media, semalam.

“Ini merupakan satu cabaran yang cukup besar bagi kita sebagai juara bertahan yang terpaksa berhadapan dengan Terengganu dan sudah pasti salah satu daripada pasukan ini akan terkeluar daripada saingan.

“Kelantan sudah tentu tidak boleh memandang mudah kehebatan Terengganu apatah lagi mereka berkeupayaan untuk menewaskan kita. Ini dibuktikan apabila mereka berjaya mengalahkan kita dalam perlawanan akhir Piala FA musim ini.

Justeru Annuar mengharapkan barisan pemain The Red Warriors itu memberikan fokus yang lebih dan melipatgandakan persiapan bagi menghadapi saingan suku akhir pertama yang akan berlangsung di tempat lawan pada 10 Oktober ini.

“Pihak Kafa akan mengaturkan beberapa siri perlawanan persahabatan termasuk menentang pasukan Songkla FC dan pasukan Piala Presiden Kelantan dalam tempoh rehat selama 12 hari ini bagi memperkasakan pasukan.

Sementara itu, sebagai persiapan menghadapi Liga Malaysia yang akan memulakan saingan awal tahun depan, Annuar juga turut mengumumkan tiga pemain import iaitu Jocip Bonasin dari Croatia dan dua pemain Ghana akan tiba dalam masa terdekat untuk mencuba nasib bersama pasukan Kelantan.

“Ketiga-tiga mereka akan menyertai pasukan Kelantan bagi menghadapi perlawanan persahabatan itu. Malah kelibat tiga awang import dari Ivory Coast dan Nigeria juga akan turut menyertai pasukan kita selepas ini.

“Namun tidak semua pemain utama akan diturunkan kerana kita tidak mahu berdepan risiko mengalami kecederaan. Mungkin kita akan menurunkan pemain-pemain simpanan dalam perlawanan itu,” katanya.

Josip Bonacin, 27, pemain yang beraksi diposisi pertahanan pernah menyarung jersi Kelantan dalam perlawanan persahabatan menentang kelab Pelita Jaya FC dari Indonesia yang menyaksikan berkesudahan seri 1-1 pada Julai lalu.

No comments:

Post a Comment