Monday, September 26, 2011

KELANTAN MARA KE SUKU AKHIR

S Chanturu (kanan) cuba berebut bola dengan pemain Johor FC

JOHOR FC 1
Mohd Akmal Mohd Noor (m-2)

KELANTAN 1
Azammuddin Mohd Akil (m-8)

PASIR GUDANG – Juara bertahan, Kelantan mengesahkan tempat ke suku akhir namun aksi hambar sekali lagi menghantui mereka setelah diikat seri 1-1 oleh  Johor FC dalam perlawanan peringkat kumpulan C Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium JCorp, Pasir Gudang malam tadi.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu berada didepan apabila menjaringkan gol pembukaan tatkala permainan baru memasuki minit kedua perlawanan. Segalanya berpunca apabila sepakan penjuru oleh Eddy Helmi Abdul Manan ditanduk kemas ke belakang oleh Shahrizal Mohd Saad kepada Mohd Akmal Mohd Nor.

Mohd Akmal yang tidak dikawal bijak memanfaatkan peluang dengan melepaskan rembatan kencang yang terbias kaki Mohd Farisham dan mengelirukan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sebelum bola menerjah jaring untuk gol pertama Johor FC.

Tersentak dengan gol tersebut, Kelantan kembali melancarkan serangan dan dua minit kemudian Azammuddin Mohd Akil seharusnya memastikan kedudukan kembali terikat seri kalau tidak kerana rembatan kencangnya sedikit tersasar disebelah kiri pintu gol Johor FC.

Begitupun kegembiraan pemain tuan rumah tidak bertahan lama apabila Azammuddin menebus kembali kesilapannya apabila menjaringkan gol penyamaan The Red Warriors empat minit  kemudian.

Berpunca sepakan penjuru pendek yang diambil Norshahrul Idlan Talaha dan melintangkan bola ke dalam kotak penalti, Azammuddin bijak menampan kemas menewaskan penjaga gol, Mohd Anis Faron Ahmad Arsidi untuk menghasilkan gol penyamaan bagi Kelantan.

Tiga minit berselang, berlaku gerakan satu-dua menarik antara Norshahrul Idlan dan S Chanturu dan hampir menghasilkan gol kedua Kelantan namun rembatan Chanturu pula mudah diselamatkan oleh penjaga gol Johor FC, Mohd Anis Faron.

Johor FC yang turut dengan misi hidup mati turut mempunyai peluang untuk kembali berada didepan pada m-19 perlawanan. Tindakan kurang cermat Mohd Daudsu menghantar bola ke belakang hampir direbut oleh penyerang Johor FC, Mohd Saufi Ibrahim mujur Khairul Fahmi pantas meluru keluar menyelamatkan keadaan.

Tidak banyak gerakan merbahaya dilakukan oleh barisan pemain Kelantan selepas itu. Malah percaturan taktikal Datuk M Karathu meletakkan Zairul Fitree Ishak beraksi diposisi sayap kiri dilihat kurang sesuai apabila pemain tersebut gagal merencanakan  gerakan menarik untuk disempurnakan oleh penyerang Kelantan.

Sebaliknya, Johor FC tetap tampil garang menerusi rembatan kaki kiri Mohd Saufi Ibrahim yang sedikit melewati pintu gol Kelantan pada m-27 sementara percubaan Khairi Kiman seminit sebelum babak pertama berakhir pula tersasar disebelah kanan pintu gol.

Satu-satunya peluang terbaik Kelantan hadir dalam minit-minit terakhir babak pertama menerusi sepakan percuma Kapten, Muhd Badhri Radzi yang menyaksikan bola rembatannya terus ke dakapan Mohd Anis Faron.

Tujuh minit babak kedua bersambung, anak buah Sazali Saidun sekali lagi nyaris mendahului Kelantan. Sepakan percuma Kapten, Rezal Zambery Yahya pantas disambut oleh Shahrizal namun tandukan kencangnya sedikit tersasar disebelah kanan pintu gol Kelantan.

Zairul Fitree cuba menyekat kemaraan pemain Johor FC, dalam aksi pertemuan, malam semalam.

Seminit kemudian, pemain gantian Kelantan, Mohd Nurul Azwan Roya kembali menyalakan api perjuangan rakan sepasukan apabila melakukan rembatan kencang ke pintu gol Johor FC namun diselamatkan penjaga gol Johor FC sekali lagi.

Ketika barisan pemain Kelantan kian buntu untuk menembusi pintu gol Johor FC, sumbangan pemain lipas kudung, S Chanturu pula terpaksa dilupakan apabila digantikan dengan Muhammad Izuan Salahuddin setelah beliau mengalami kecederaan pada m-66 perlawanan.

Johor FC terus memberi tekanan kepada Kelantan apabila mempunyai tiga peluang terbaik dalam tempoh tiga minit bermula m-73 menerusi rembatan kencang Shahrizal dari jarak 30 meter yang melewati pintu gol Kelantan.

Seminit kemudian, giliran Mohd Akmal pula melepaskan rembatan leret didalam kotak penalti namun diselamatkan Mohd Shahrizan Ismail.  

Tindakan bijak pemain pertahanan, Mohamad Izuan Jarudin yang pantas meluru ke atas dan menanduk cantik sepakan penjuru Eddy Helmi Abdul Manan hampir menghasilkan gol untuk pasukannya namun tandukannya itu diselamatkan sekali lagi Mohd Shahrizan digawang gol Kelantan.

Minit-minit akhir perlawanan, barisan pemain Kelantan terus tidak berputus asa mengasak untuk memburu gol kemenangan namun rembatan liar Azammuddin menutup aksi perlawanan berkesudahan kedua-dua pasukan sekadar berkongsi mata dalam perlawanan malam tadi.

Keputusan seri malam tadi membolehkan Kelantan merampas kedudukan selaku pendahulu kumpulan C ketika saingan hanya berbaki satu perlawanan untuk ditamatkan. Penentuan juara kumpulan sudah pasti sengit apabila Kelantan dan KL Felda United FC akan membuat perhitungan mutlak dalam perlawanan terakhir di Kota Bharu pada Selasa ini.

Kesebelasan utama pemain :

JOHOR FC : Mohd Anis Faron Ahmad Arsidi, Mohd Saiful Nizam Miswam (Mohd Hamzani Omar), Hasni Zaidi Jamian, Mohamad Izuan Jarudin, Mohamad Khairul Ismail, Khairi Kiman (Muhd Irfan Abdul Ghani), Rezal Zambery Yahya (KP), Mohd Akmal Mohd Noor, Eddy Helmi Abdul Manan, Mohd Saufi Ibrahim (Mohammad Ezaidy Khadar) dan Shahrizal Mohd Saad.

FORMASI : 4-2-3-1

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat (Mohd Shahrizan Ismail), Mohd Daudsu Jamaludin, S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Mohamad Ab Aziz Ismail, Zairul Fitree Ishak (Mohd Nurul Azwan Roya), Muhd Badhri Radzi (KP), S Chanturu (Muhammad Izuan Salahuddin), Mohd Shakir Shaari, Azammuddin Mohd Akil dan Norshahrul Idlan Talaha.

FORMASI : 4-4-2
  
STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Johor FC (1) Kelantan (3)
Percubaan tersasar : Johor FC (3) Kelantan (2)
Sepakan penjuru : Johor FC (6) Kelantan (8)
Sepakan percuma : Johor FC (13) Kelantan (19)
Ofsaid : Johor FC (6) Kelantan (0)
Kekasaran : Johor FC (13) Kelantan (13)
Kad kuning : Johor FC (Mohd Saiful Nizam Miswam, Mohd Saufi Ibrahim dan Rezal Zambery Yahya)
Kelantan (Mohd Shakir Shaari, Mohd Daudsu Jamaluddin dan Mohd Farisham Ismail)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Lima minit
Penguasaan bola : Johor FC (50%) Kelantan (50%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Azham Musa
Penolong Pengadil 1: Rosli Sha’ban
Penolong Pengadil 2: Ravi Aylan
Pegawai Keempat : Mohd Khalid Mohd Aris
Kommissioner  Perlawanan : K Ponnusamy
Penilai Pengadil : Abdullah Md Derus
General Koordinator : Mahadzir Ahmad

No comments:

Post a Comment