Monday, September 26, 2011

KARATHU PUAS WALAUPUN DIPAKSA SERI

Norshahrul Idlan (kanan) bersaing hebat dengan Eddy Helmi dalam aksi pertemuan Johor FC menentang Kelantan, malam semalam.

KOTA BHARU – ‘Satu mata sudah memadai bagi kami’ Demikian komen ringkas Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu sesudah pasukan kendaliannya mengesahkan tempat mara ke suku akhir kempen Piala Malaysia musim ini.

Dalam perlawanan malam semalam, Kelantan diikat keputusan seri 1-1 oleh tuan rumah, Johor FC menerusi pemainnya, Mohd Akmal Mohd Noor seawal minit kedua perlawanan sebelum dipadamkan dengan jaringan Azammuddin Mohd Akil enam kemudian.

Karathu berkata, beliau puas hati dengan keputusan seri itu dan menganggap satu mata yang dibawa pulang dari Pasir Gudang sudah memadai sebelum membuat perhitungan mutlak dengan KL Felda United FC dalam perlawanan terakhir pada Selasa ini.

“Gol pertama Johor FC sebenarnya cukup mengejutkan kita. Saya lihat barisan pemain tidak begitu bersedia dan baru hendak menyesuaikan diri dalam perlawanan tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Memang saya sudah beritahu kepada pemain supaya beraksi lebih agresif dan bersedia menghadapi tekanan pemain tuan rumah dan itu yang berlaku dalam perlawanan malam semalam.

“Setelah kita berjaya menyamakan kedudukan, saya lihat pemain mereka lebih ghairah naik ke atas melancarkan serangan. Mereka berusaha memburu gol kerana mereka tahu tidak boleh seri dengan kita dalam perlawanan itu,” katanya.

Ditanya mengenai percaturan beliau meletakkan Mohamad Ab Aziz Ismail diposisi sayap kiri dan menyenaraikan semula Zairul Fitree Ishak diposisi asalnya iaitu bek kiri, Karathu berkata, tindakan tersebut dilakukan bagi membolehkan beliau merehatkan Mohd Nurul Azwan (Roya) untuk perlawanan akan datang.

“Zairul Fitree (Ishak) kurang efektif bila saya arahkan dia tukar posisi dengan Mohamad Ab Aziz (Ismail). Sebab itu saya terpaksa memasukkan Mohd Nurul Azwan (Roya) bagi mengimbangi kekuatan Johor FC menerusi kelincahan Eddy Helmi (Abdul Manan) dalam perlawanan ini.

“Separuh masa kedua kita juga mempunyai banyak peluang terutamanya dalam 10 minit terakhir namun gagal disempurnakan oleh pemain kita. Bagi saya satu mata bertemu Johor FC itu sudah bagus, mereka sebuah pasukan yang kuat dan Selangor dan T-Team juga sukar menjinakkan mereka apabila beraksi di sini (Pasir Gudang) dalam Liga Super lalu,” katanya.

Sementara itu biarpun sudah mengesahkan tempat ke suku akhir, namun Karathu sedikit gusar apabila beberapa tonggak utama pasukannya dilanda kecederaan dan bakal berhadapan dengan penggantungan perlawanan.

“S Chanturu, Apex (Khairul Fahmi Che Mat) dan Subra (S Subramaniam) berada dalam senarai pemain yang mengalami kecederaan dan saya perlu memantau perkembangan mereka dalam masa terdekat. Mohd Daudsu (Jamaluddin) dan Mohd Nurul Azwan (Roya) pula mengutip dua kad kuning dan kalau mereka berdua kena kad kuning ketiga sudah pasti saya akan terlepas khidmat mereka dalam saingan suku akhir,” katanya.

No comments:

Post a Comment