Monday, August 8, 2011

FOKUS PADA KERJAYA - ANNUAR

ANNUAR

KOTA BHARU – “Fokus kepada kerjaya dan lupakan apa yang berlaku” Demikian nasihat Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa kepada penjaga gol utama Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat disebalik kemelut putus tunang yang melanda pemain itu, baru-baru ini.

Khairul Fahmi, 22 tahun atau dikenali dengan panggilan Apex mengejutkan peminat bola sepak tempatan apabila bertindak memutuskan ikatan pertunangan dengan tunangnya, Aimie Harmelia Mohd Hashumi, 23 tahun, dua hari selepas beraksi cemerlang dalam pusingan kedua kempen kelayakan Piala Dunia, menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Annuar Musa, menjelaskan beliau ada mengikuti perkembangan pemain tersebut namun tidak sempat bertemu dengannya memandangkan Khairul Fahmi kini sibuk menyertai latihan bersama skuad Olimpik di bawah bimbingan jurulatih, Ong Kim Swee di Slovakia sejak minggu lalu.

“Saya ditanya beberapa kali mengenai apa yang berlaku ke atas Apex. Perkara putus tunang ini merupakan masalah peribadi. Sebenarnya, sebelum bertunang dia pernah menghubungi saya dan saya memberi sedikit nasihat kepada dia,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian bonus kepada pemain bola sepak Liga Super dan skuad Piala Presiden Kelantan, semalam.

“Nasihat saya kepada dia selepas apa yang berlaku ini, berilah keutamaan kepada kerjayanya selaku pemain bola sepak. Dia merupakan pemain muda yang kita sedang gilap supaya menjadi seorang penjaga gol profesional pada masa depan.

KHAIRUL FAHMI

“Saya fikir perkara putus tunang ini tidak terlalu besar dan kalau ianya sudah ditakdirkan begitu dia harus redha dengan apa yang terjadi. Saya berharap dia dapat menangani masalah ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Walaubagaimanapun, Annuar mengakui tindakan beberapa pihak yang cuba menggunakan nama Apex dalam pelbagai bentuk publisiti mungkin boleh memberi kesan yang tidak baik kepada pemain itu dalam mengatasi masalah peribadinya ketika ini.

 “Perkara ini kalau tidak dikawal mungkin boleh memberi tekanan dan dia harus menangani sebaik mungkin. Kita tidak mahu masalah-masalah emosi yang berat menganggu tumpuannya ketika beraksi diatas padang.

“Apa yang berlaku, saya tidak boleh mencampuri secara langsung. Tinggal lagi dia merupakan anak didik Kafa dan kita akan jaga kepentingannya memandangkan dia merupakan pemain utama kita.

“Sekiranya perlu kita akan beri bantuan kepada dia dalam bentuk nasihat dan bimbingan. Dia mempunyai masa depan yang cerah dan kita tidak mahu kerjaya bola sepaknya hancur ditengah jalan,” katanya.

1 comment: