Monday, August 8, 2011

PEMAIN KELANTAN TERIMA BONUS

Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim (tengah) dan Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi (kanan) menerima replika cek daripada Annuar, semalam.

KOTA BHARU – Biarpun sambutan hari raya AidilFitri masih berbaki tiga minggu lagi, namun semua pemain skuad Liga Super dan Piala Presiden Kelantan sebenarnya sudah boleh tersenyum lebar bagi menyambut hari lebaran itu dengan penuh keceriaan setelah menerima ‘duit raya’ mereka masing-masing, semalam. 

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memperuntukkan sejumlah RM282,000 bagi tujuan pembayaran bonus kepada semua pemain dan pegawai kedua-dua pasukan diatas kejayaan menjulang kejuaraan Liga Super dan Piala Presiden musim ini.

Majlis penyampaian bonus itu disempurnakan sendiri oleh Presidennya, Tan Sri Annuar Musa dalam satu majlis berbuka puasa bersama para pemain dan pegawai kedua-dua pasukan di kediaman rasminya di Sri Puri, Bukit Marak dekat sini petang semalam.

Annuar berkata, mesyuarat ahli majlis Kafa pada Jumaat lalu memutuskan untuk memberikan bonus tambahan sebanyak RM222,000 menjadikan jumlah keseluruhan bonus yang dibayar ialah RM502,000 untuk pemain pasukan Liga Super Kelantan pada musim ini.

“Kita membuat semakan, setakat ini telah membayar bonus kemenangan bagi tiap-tiap satu perlawanan berjumlah keseluruhan RM280,000. Memandangkan kita berjaya mencipta kejuaraan buat pertama kali, Kafa bersetuju memberi bonus tambahan berjumlah RM222,000,” katanya dalam sidang media, semalam.

“Sebelum ini, bonus kemenangan bagi setiap pemain yang bermain penuh mendapat sebanyak RM12,000. Hari ini pemain yang bermain penuh ertinya penampilan bersama dalam kesebelasan utama yang tinggi dalam pasukan juga berhak menerima bonus berjumlah RM10,000.

“Ini bermakna untuk perlawanan Liga Super sahaja, pemain Kelantan mendapat bonus tertinggi berjumlah RM22,000. Perhitungan ini dikira mengikut berapa kali mereka bermain dan berapa kali menjadi pemain simpanan dengan ‘cap’ minima ialah RM1,000. Kebanyakkan pemain utama mendapat sekitar RM9,000 hingga RM10,000,” katanya.

Menurut Annuar, walaupun Kafa perlu mengambil langkah berjimat cermat dalam mengumpul dana bagi menghadapi musim getir pada 2012, namun sebagai satu penghargaan pihaknya perlu berkorban memandangkan tidak ada pihak yang tampil menghulurkan sumbangan kepada mereka.

Dalam perkembangan yang sama, skuad pelapis Kelantan dan pihak pengurusan pasukan juga turut menerima bonus berjumlah RM2,500 seorang diatas kejayaan muncul juara Piala Presiden menewaskan MP Muar 2-1, baru-baru ini.

“Kita memperuntukan sebanyak RM60,000 agihan bonus kepada mereka. Ini merupakan sebagai insentif dan kita berharap pasukan Piala Presiden mampu mengekalkan prestasi yang baik kerana mereka merupakan satu proses penting bagi Kafa dalam melahirkan pemain-pemain pelapis.

“Sehubungan dengan itu, seramai lima pemain dari skuad ini akan diserapkan ke dalam pasukan utama bagi menghadapi saingan Piala Malaysia nanti. Kita harap dapat memberikan peluang kepada mereka untuk mengembangkan lagi bakat ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

No comments:

Post a Comment