Saturday, July 2, 2011

KELANTAN TIDAK TERTEKAN

ZAHASMI ISMAIL

KOTA BHARU – ‘Tiada tekanan dan bermain seperti biasa’. Sebaliknya kita akan mencari gol awal bagi membunuh semangat juang pemain Johor,” tegas Jurulatih skuad Piala Presiden Kelantan, Zahasmi Ismail kepada pemainnya menjelang pertemuan suku akhir kedua menentang Johor.

Membawa bekalan selesa dua gol ke Johor Bahru, Kelantan akan membuat perhitungan dengan Johor dalam aksi perlawanan suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin petang ini dalam usaha memburu salah satu slot ke separuh akhir.

“Saya percaya masalah ketumpulan jentera serangan yang menghantui pasukan kita bakal berakhir dalam perlawanan ini. Malah tempoh rehat selepas perlawanan baru-baru ini dipergunakan sebaiknya bagi mempertajamkan jentera serangan kita,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Kita akan bermain seperti biasa dan tidak sesekali tertekan. Sekali pun membawa bekalan selesa, saya tidak mahu pemain kita terlalu yakin dan sentiasa berwaspada. Mereka harus mencari gol awal dan itu yang saya titikberatkan kepada semua pemain.

MOHD YUSRI ISMAIL

“Saya masih memberi kepercayaan kepada 18 pemain yang sama ketika perlawanan tempohari bagi bertemu Johor kali kedua ini. Tidak ada rombakan terhadap barisan pemain pada perlawanan ini,” katanya.

Menurut Zahasmi, beliau mengenalpasti faktor kegopohan jentera serangan selain tekanan beraksi dihadapan penyokong sendiri sedikit sebanyak memberi kesan kepada persembahan pasukan dan berharap perkara tersebut tidak berulang dalam perlawanan petang ini.

Sementara itu, bagi Penolong Pengurus Pasukannya, Mohd Yusri Ismail berkata, sekali pun membawa bekalan selesa dua gol bertandang ke tempat lawan namun beliau tidak mahu barisan pemainnya memgambil mudah pertemuan tersebut.

“Kemenangan 2-0 sudah berlalu. Ini cerita (perlawanan) lain dan situasinya cukup berbeza. Saya tekankan kepada semua pemain, kita lupakan kemenangan lalu sebaliknya fokus terhadap perlawanan ini.

“Johor sudah pasti mahu bangkit dan tidak lagi bermain secara bertahan seperti perlawanan pertama lalu. Saya percaya mereka akan bermain lebih agresif untuk mencari gol awal.  Namun saya yakin pasukan kita tidak menghadapi untuk mara ke separuh akhir kali ini.

“Lebih menggembirakan, semua pemain bebas daripada masalah kecederaan dan penggantungan perlawanan. Ini sedikit sebanyak menyuntik semangat kepada semua pemain untuk beraksi lebih baik pada perlawanan ini,” katanya. 

Zahasmi Ismail dijangka mengekalkan kesebelasan utama pemain yang sama menentang Johor, petang ini.
 

No comments:

Post a Comment