Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan diasak hebat Ramesh Lai Ban Huat (terlindung) dan Mohd Hasmarul Fadzir dalam perlawanan yang menyaksikan Kelantan menang 3-1 ke atas KL Felda United FC, malam tadi
KL FELDA UNITED FC 1
Mohd Hasmarul Fadzir Hassan (m-85)
KELANTAN 3
Muhd Badhri (m-30)
Rashid Mahmud (gol sendiri m-46)
Norshahrul Idlan Talaha (pen m-88)
KUALA LUMPUR – Kelantan kembali merampas kedudukan selaku pendahulu liga setelah mengalahkan KL Felda United FC 3-1 dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Malah, kejayaan T-Team mengalahkan Selangor 2-1 pada aksi perlawanan yang berlangsung sebelah petang di Kuala Terengganu sebelum itu memberi perkhabaran gembira kepada anak buah Datuk M Karathu untuk kembali bermotivasi tinggi merampas gelaran selaku pendahulu liga malam tadi.
Seawal minit kelima, Felda United FC diberikan ‘sepakan penalti kontroversi’ setelah penjaga garisan mengesan bola terkena tangan Mohd Farisham Ismail didalam kotak penalti. Namun penyerangnya, Azrul Ahmad mensia-siakan peluang terbaiknya apabila sepakan keduanya diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat setelah sepakan pertamanya dibatalkan sebelum itu.
Kesebelasan utama pemain Kelantan yang diturunkan dalam pertemuan menentang KL Felda United Fc di Cheras, malam tadi.
Pada m-25, Felda United kembali mencemaskan pintu gol Kelantan apabila sepakan percuma oleh Mohd Lot Abu Hassan ditanduk kemas Mohd Nizaruddin Yusoff namun Khairul Fahmi pantas menyelamatkan keadaan.
Selang dua minit kemudian, berpunca serangan balas, Chow Chee Weng pantas menyilang bola ke dalam kotak penalti namun tampanan kurang kemas Mohd Nizaruddin menyaksikan bola tersasar disebelah kanan biarpun Khairul Fahmi sudah pun tertewas dipintu gol Kelantan.
Penyerang Kelantan, Muhammad Ramzul Zahini cuba melepasi kekangan pemain pertahanan tuan rumah, Rashid Mahmud dalam perlawanan malam tadi.
Disebalik asakan bertali arus pemain tuan rumah, Ketua Pasukan Kelantan, Muhd Badhri menceriakan penyokong setia The Red Warriors apabila menjaringkan gol pertama pada m-30. Berpunca hantaran lintang Mohd Daudsu Jamaluddin ke dalam kotak penalti, Muhd Badhri pantas menanduk tepat menewaskan Mohd Hamsani Ahmad untuk menghasilkan gol pertama Kelantan.
Empat minit berselang, penyerang terbilang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha mensia-siakan peluang terbaiknya untuk menjarakkan kedudukan Kelantan setelah menyepak liar ke sebelah kiri pintu gol biarpun hanya berhadapan Mohd Hamsani didalam kotak penalti pasukan tuan rumah.
Minit-minit akhir babak pertama, Felda United FC gagal menyamakan kedudukan apabila rembatan Mohd Lot hanya sedikit tersasar disebelah kanan pintu gol Kelantan.
Seminit babak kedua bersambung, Kelantan berjaya menjadikan kedudukan selesa setelah mendahului 2-0. Pemain pertahanan tuan rumah, Rashid Mahmud tertolak bola ke gawang sendiri setelah gagal membaca tepat hantaran mengelirukan Mohd Nurul Azwan Roya ke dalam kotak penalti pasukannya.
Biarpun ketinggalan dua gol, anak buah E Elavarasan jelas tidak mudah patah semangat malah lebih bersemangat untuk merapatkan jurang namun tandukan terbang bekas penyerang kebangsaan, Mohd Nizaruddin pada m-56 berpunca hantaran lintang Mohd Lot dibatalkan oleh pengadil setelah dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Tiga minit kemudian, pemain tengahnya, Chow Chee Weng sempat memperdayakan Mohd Daudsu didalam kotak penalti Kelantan namun rembatan kencangnya pula dinafikan oleh Khairul Fahmi.
Felda United FC turut mempunyai dua terbaik untuk merapatkan jurang selepas itu apabila rembatan kencang K Rajan pada m-75 terus ke dakapan Khairul Fahmi sementara tandukan cantik pemain gantian, Amir Shahreen Abd Mubin tiga minit kemudian sedikit tersasar daripada pintu gol Kelantan.
Pada m-85, Felda United FC memperolehi gol saguhati mereka menerusi tandukan cantik Mohd Hasmarul Fadzir yang menyambut baik sepakan percuma pemain gantian, Mohd Syazwan Zainon.
Namun kegembiraan pemain tuan rumah meraikan jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila Kelantan kembali menjadikan kedudukan 3-1 tiga minit selepas itu. Tindakan Abdul Ghani Abdul Rahman mengasari Mohd Nurul Azwan didalam kotak penalti akhirnya mengundang padah apabila pengadil tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti untuk Kelantan.
Norshahrul Idlan mudah menyempurnakan sepakan itu untuk menghasilkan gol ketiga Kelantan seterusnya membunuh semangat juang pemain Felda United FC untuk mencipta kejutan dalam perlawanan malam tadi.
Kesebelasan utama pemain :
KL FELDA UNITED FC : Mohd Hamsani Ahmad (KP) (Mohd Faizal Abd Rashid), Abdul Ghani Abd Rahman, Rashid Mahmud, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan, Ramesh Lai Ban Huat, K Rajan, Mohd Lot Abu Hasan (Amir Shahreen Abd Mubin), Azi Shahril Azmi, Chow Chee Weng (Mohd Syazwan Zainon), Mohd Nizaruddin Yusoff dan Mohd Azrul Ahmad.
FORMASI : 4-4-2
KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP) (Danial Fadzly Abdullah), Mohd Shakir Shaari (Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid), S Chanturu, Muhammad Khalid Jamlus (Muhammad Ramzul Zahini Adenan) dan Norshahrul Idlan Talaha.
FORMASI : 4-4-2
STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : KL Felda United FC (6) Kelantan (2)
Percubaan tersasar : KL Felda United FC (9) Kelantan (2)
Sepakan penjuru : KL Felda United FC (3) Kelantan (8)
Sepakan percuma : KL Felda United FC (11) Kelantan (15)
Ofsaid : KL Felda United FC (5) Kelantan (4)
Kekasaran : KL Felda United FC (10) Kelantan (7)
Kad kuning : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : Lima minit
Penguasaan bola : KL Felda United FC (52%) Kelantan (48%)
Pemain Kelantan, Mohd Nurul Azwan Roya diasak hebat Abdul Ghani (terduduk) dan Mohd Lot ketika merebut bola dalam perlawanan KL Felda United FC menentang Kelantan, malam tadi.
No comments:
Post a Comment