Saturday, May 7, 2011

KELANTAN KEKAL TERAJU LIGA


KELANTAN 2
Muhammad Khalid Jamlus (m-54)
S Chanturu (m-66)

KEDAH 0

KOTA BHARU – Kelantan terus unggul mengekalkan kedudukan selaku peneraju tahkta liga setelah mengalahkan Kedah 2-0 dalam aksi perlawanan bola sepak Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Biarpun diberi tekanan hebat oleh dua pencabar terdekat, Selangor dan Terengganu yang turut mencatatkan kemenangan ke atas lawan masing-masing, namun tampuk penguasaan liga masih lagi kekal milik The Red Warriors yang mengatasi Selangor menerusi perbezaan jaringan gol dan berkelebihan satu mata ke atas Terengganu.

Terima kasih kepada Muhammad Khalid Jamlus dan S Chanturu yang menjaringkan gol terpenting untuk Kelantan pada babak kedua dalam perlawanan malam tadi.

Seawal minit kelima, Kelantan terlebih dahulu berada didepan menerusi jaringan Norshahrul Idlan Talaha namun pengadil perlawanan membatalkan jaringan tersebut setelah dia dikesan berada didalam kedudukan ofsaid oleh penjaga garisan.

Empat minit kemudian, giliran pasukan Kedah mencemaskan pintu gol Kelantan apabila hantaran lintang Mohamad Azmi Muslim hampir memerangkap Khairul Fahmi yang gagal menangkap kemas hantaran tersebut namun Zairul Fitree Ishak bijak mengeluarkan bola daripada situasi merbahaya didepan pintu gol Kelantan.  

Pada m-14, sepakan penjuru ‘inswinger’ Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi hampir menghasilkan gol pertama Kelantan namun Amar Rohidan pantas menanduk keluar sementara percubaan susulan Mohd Shakir Shaari selepas itu mudah dikeluarkan Mohamad Azmi.

Biarpun baru seminit dimasukkan, sentuhan pertama Muhammad Khalid Jamlus pada m-27, cukup mempersonakan apabila bola lorongannya kepada S Chanturu nyaris menghasilkan gol pertama Kelantan namun tampanan kurang kemas Norshahrul Idlan menyaksikan bola tinggi melewati pintu gol pasukan pelawat.

Selang seminit kemudian, Muhammad Khalid sendiri mensia-siakan peluang terbaiknya apabila rembatan kencangnya didalam kotak penalti diselamatkan penjaga gol Kedah, Mohd Helmi Eliza Elias.

Dua minit kemudian, Muhammad Khalid sekali lagi mempunyai peluang terbaik untuk meletakkan Kelantan didepan namun rembatannya cukup lemah menyaksikan bola terus ke dakapan Mohd Helmi Eliza.


Pada m-31, pintu gol Kelantan sekali lagi diuji kali ini menerusi tandukan cantik penyerang mudanya, Mohamad Faizal Abu Bakar yang menerima hantaran lintang Mohamad Azmi namun Khairul Fahmi pantas melayangkan badan menepis keluar tandukan tersebut.

Lima minit sebelum babak pertama beraksi, Mohd Helmi Eliza sekali lagi dipaksa bekerja keras digawang golnya apabila terpaksa menepis keluar rembatan kencang Mohd Shakir Shaari hasil sepakan penjuru Mohd Nurul Azwan sebelum itu.

Bersambung babak kedua, Kelantan tidak perlu menunggu lama untuk memperolehi gol pertama perlawanan apabila Muhammad Khalid berjaya menjaringkan gol pada m-54. Hantaran lintang Mohd Nurul Azwan didalam kotak penalti yang memperdayakan penjaga gol, Mohd Helmi Eliza, mudah ditampan kemas Muhammad Khalid untuk menghasilkan gol pertama Kelantan.

Pada m-66, Muhammad Khalid sekali lagi mencetuskan ‘aura’nya tersendiri apabila hantaran silangnya mudah disempurnakan S Chanturu menerusi rembatan kencang untuk menewaskan Mohd Helmi Eliza digawang gol Kedah bagi menghasilkan gol kedua Kelantan.

The Red Warriors mempunyai dua peluang terbaik untuk menjarakkan kedudukan namun sepakan lambung Norshahrul Idlan pada m-73 hanya sedikit melewati pintu gol sementara rembatan kencang Mohd Nurul Azwan tiga minit kemudian tersasar disebelah kiri pintu gol Kedah.

Sekalipun ketinggalan dua gol, semangat juang anak buah Wan Jamak Wan Hassan itu tidak pernah pudar untuk merapatkan jurang apabila turut mempunyai dua peluang terbaik menerusi rembatan kencang Baddrol Bakhtiar pada m-82 yang sedikit tersasar disebelah kiri pintu gol Kelantan.

Sementara gerakan menarik pemain gantian, Mohamad Fiqry Md Isa yang memperdayakan dua pemain pertahanan Kelantan seminit selepas itu menyaksikan bola rembatannya tersasar di sebelah kanan pintu gol Kelantan.

Rembatan kencang Muhd Badhri yang singgah dipalang gol Kedah pada minit-minit akhir perlawanan menutup tirai penguasaan mutlak Kelantan untuk terus memimpin carta liga menerusi kemenangan 2-0 ke atas Sang Kenari malam tadi.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail (Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid), Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, Solehin Kanasian Abdullah (Muhammad Khalid Jamlus) S Chanturu (Mohd Izuan Salahuddin) dan Norshahrul Idlan Talaha.

FORMASI : 4-4-2

KEDAH : Mohd Helmi Eliza Elias, Khairul Helmi Johari, Mohd Fauzie Nan (KP), Shafizan Hashim, Mohd Azmi Muslim (Mohd Fazliata Taib), V Thirumurugan, Amar Rohidan, Wan Mohd Asraf Wan Ali (Mohamad Fiqry Md Isa), Baddrol Bakhtiar, Mohamad Faizal Abu Bakar, dan Mohd Firdaus Mohd Faudzi (Hattaphon Bun An).

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (6) Kedah (3)
Percubaan tersasar : Kelantan (7) Kedah (5)
Sepakan penjuru : Kelantan (6) Kedah (3)
Sepakan percuma : Kelantan (17) Kedah (18)
Offsaid : Kelantan (5) Kedah (3)
Kekasaran : Kelantan (12) Kedah (14)
Kad kuning : Kelantan (Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Daudsu Jamaluddin) Kedah (V Thirumurugan)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : Empat minit
Penguasaan bola : Kelantan (55%) Kedah (45%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Samsuddin Ibrahim
Penolong Pengadil 1: Mohd Zulkifli Jusoh
Penolong Pengadil 2: Mohd Faiz Che Mud
Pegawai Keempat : Mohd Ezani Said
Kommisioner Perlawanan : Noor Anuar Abdullah Sani
General Kordinator : Arif Hassan

No comments:

Post a Comment