Karathu (dua,kiri) memantau dengan serius sesi latihan terakhir skuad Kelantan di Kota Bharu, pagi semalam.
KOTA BHARU – Rekod cemerlang Negeri Sembilan setiap kali beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi musim ini mungkin tidak memihak kepada tuan rumah namun itu tidak bermakna Kelantan mengambil mudah apabila turun membuat perhitungan mutlak memburu tiga mata penting, malam ini.
Ini diakui sendiri Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu yang mengambil pendirian untuk merendah diri sambil mengakui prestasi yo-yo Skuad Jang yang dibimbing jurulatih baru, Mohd Azraai Khor Abdullah sedikit sebanyak menggusarkan beliau.
“Walaupun prestasi Negeri Sembilan tidak berapa bagus namun saya percaya dengan kebolehan pemain-pemain berpengalaman yang mereka ada, pertemuan ini tidak semudah yang disangkakan dan sudah pasti saingan sengit menanti Kelantan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
“Memang pasukan kita bertandang ke Paroi dengan semangat juang yang tinggi untuk memburu kemenangan. Namun kita perlu ingat, Negeri Sembilan sudah pasti mengharapkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk mencari kemenangan lebih-lebih lagi setelah dikecewakan Sabah dengan kekalahan 2-0 tempohari.
“Apa yang saya harapkan, pemain kita dapat mengekalkan kekuatan mental bagi menghadapi Negeri Sembilan. Kita hanya baru menang sekali ditempat lawan pada pusingan kedua, jadi saya fikir kita perlu memburu kemenangan kedua. Kemenangan ini sebenarnya cukup penting bagi kita,” katanya.
Menurut Karathu, dalam mengharungi minggu yang sukar kerana perlu bertemu Negeri Sembilan beliau berharap kemenangan malam ini mampu menyuntik semangat luar biasa kepada pemainnya bagi menghadapi Selangor dalam aksi separuh akhir pertama kempen Piala FA penghujung minggu ini.
“Ya, itu yang sama mahukan (kemenangan) kerana seharusnya kemenangan menjadi motivasi kepada pemain kita untuk beraksi dengan cemerlang apabila bertemu Selangor pada Jumaat ini.
“Saya suka memberi tumpuan kepada satu-satu perlawanan tanpa memikirkan mengenai keputusan perlawanan lain. Saya sedar setiap pasukan sekarang berjuang habis-habisan untuk mendapatkan mata. Bagi saya, setiap perlawanan seumpama kita beraksi dalam perlawanan akhir.
“Soal tekanan itu perkara biasa. Kadang-kala tekanan bagus kepada pemain untuk bermain dengan baik. Malah Selangor dan Terengganu sentiasa memberi tekanan kepada kita. Saya tidak peduli semua itu kerana kita kini mengejar kejuaraan Liga Super selain memenangi Piala FA,” katanya.
Sementara itu, Karathu yang akan menurunkan barisan terkuatnya malam ini dijangka melakukan sedikit perubahan dengan berkemungkinan menyenaraikan satu dua pemain bagi mengimbangi kekuatan diposisi pertahanan dan tengah.
No comments:
Post a Comment