Tuesday, April 12, 2011

SIGNIFIKAN PERTEMUAN DUA JURULATIH


KOTA BHARU – Pertemuan Liga Super diantara Perak menentang Kelantan di Stadium Perak, Ipoh malam ini bukan sahaja menjadi tumpuan bagi peminat bola sepak kedua-dua pasukan tetapi turut memberi makna tersendiri bagi pengendali pasukan terbabit.

Bagi Norizan Bakar, setelah tiga tahun menyepi daripada kancah bola sepak tempatan, dimana kelibatnya kali terakhir dilihat membimbing Kelantan pada tahun 2008, kini tersandar harapan baru untuk mengangkat kembali martabat skuad yang terkenal dengan jolokan nama Kejor Yop Kejor itu pada musim ini.

Sementara bagi Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu, kembalinya ke Ipoh malam ini seumpama sirih pulang ke gagang. Kali terakhir beliau menerajui Perak ialah dua tahun lalu, sebelum meletak jawatan serta-merta ekoran kegagalan pasukan bimbingannya melayakkan diri ke saingan suku akhir kempen Piala Malaysia musim itu.

Karathu ketika dihubungi mengakui perlawanan ini cukup penting dalam menjarakkan kedudukan pasukan dalam saingan carta liga apatah lagi kedua-dua pasukan kini hanya dibezakan dengan satu mata sahaja.

“Saya tidak memandang mudah pertemuan dengan negeri kelahiran saya ini Saya menjangkakan kita akan disajikan dengan satu perlawanan yang cukup sengit dan menghiburkan. Kedua-dua pasukan sudah pasti tidak mahu tercicir mata dan saya fikir pasukan yang memanfaatkan setiap peluang dan meminimakan kesilapan berhak menang dalam perlawanan ini.

“Apa yang saya lihat, Perak merupakan sebuah pasukan yang konsisten, berpaksikan semangat berpasukan yang tinggi serta mempunyai gabungan pemain muda dan berpengalaman. Mereka dilatih oleh Norizan (Bakar) yang cukup berpengalaman. Itu kelebihan yang dimiliki pasukan mereka musim ini.

“Namun saya percaya selepas kita mempamerkan kebangkitan luar biasa membelasah KL Felda United FC 6-0 di Kota Bharu tempohari, pemain saya kini mempunyai tahap keyakinan yang cukup tinggi bukan sahaja dalam perlawanan malam ini, tetapi juga pada perlawanan akan datang,” katanya.

Sambil menamakan penyerang Perak, Akmal Rizal Ahmad Rakhli selaku pemain yang perlu diberi perhatian oleh benteng pertahanan Kelantan dalam perlawanan ini, Karathu turut menuntut para pemainnya memperkemaskan setiap posisi andai tidak mahu pulang hampa ke Kota Bharu.

“Memang daripada segi jumlah jaringan gol kita mengatasi Perak. Namun itu tidak ada gunanya sekiranya kita melancarkan serangan dan menjaringkan gol yang banyak tetapi sistem pertahanan mudah dibolosi. Saya sudah ingatkan kepada semua pemain bahawa pasukan Perak mempunyai rekod yang cemerlang beraksi di gelanggang sendiri setakat ini,” katanya.

Sementara itu, Karathu turut menegaskan tiada rombakan dilakukan terhadap barisan kesebelasan utama pemain yang akan diturunkan dalam pertemuan menentang Perak malam ini.

“Tiada alasan untuk saya berbuat (rombakan) demikian terhadap pasukan ini. Mereka menunjukkan prestasi yang bagus dalam perlawanan lalu dan saya fikir mereka harus diberi kepercayaan sekali lagi membawa cabaran Kelantan pada perlawanan ini,” katanya.

1 comment: