Wednesday, April 13, 2011

KELANTAN KENA BELASAH

PERAK 4
Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri (m-5)
Mohd Shafiq Jamal (m-26)
Akmal Rizal Ahmad Rakhli (m-78)
Razali Umar Kandasamy (m-81)

KELANTAN 0

IPOH – Perak membuktikan mereka antara pasukan yang harus diberi perhatian musim ini apabila mudah membenam saingan Kelantan menerusi kemenangan besar 4-0 dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

Ternyata, kekalahan terbesar Kelantan dalam perlawanan malam tadi mencerminkan aksi tidak konsisten anak didik Datuk M Karathu mengharungi saingan liga musim ini. Malah, Aksi kelam kabut benteng pertahanan dan ketumpulan jentera serangan mencipta peluang antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan terbesar The Red Warriors dalam saingan liga setakat ini.

Seawal minit ketiga, bekas pemain Kelantan musim lalu, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang menampan kemas hantaran Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri mencemaskan pintu gol Kelantan menerusi rembatannya yang menyaksikan bola sedikit melewati pintu gol.

Pada ketika barisan pemain Kelantan tercari-cari rentak permainan, mereka dikejutkan dengan gol pertama pasukan tuan rumah seawal minit kelima perlawanan. Pemain sayap, Mohd Fazrul Hazli yang membawa masuk bola ke dalam kotak penalti bijak memperdayakan dua pemain pertahanan Kelantan sebelum merembat kencang untuk menghasilkan gol pertama dalam perlawanan malam tadi.

Selang tiga minit kemudian, Akmal Rizal sekali lagi hampir meletakkan pasukannya berada dalam keadaan lebih selesa dalam perlawanan malam tadi. Menyambut baik hantaran jauh rakan sepasukan, Akmal Rizal bijak memperdayakan bek tengah Kelantan, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid namun rembatannya sedikit melewati pintu gol Kelantan.

Pada m-19, Kelantan kembali menggandakan asakan menerusi rembatan jarak dekat S Chanturu yang menyaksikan Mohd Nasril Mat Nourdin terpaksa menepis bola keluar namun Norshahrul Idlan Talaha lambat melakukan tindakan susulan selepas itu.

Pada m-26, Perak memperolehi gol kedua menerusi rembatan mudah Mohd Shafiq Jamal. Akmal Rizal bijak melakukan hantaran silang daripada sebelah kanan pintu gol Kelantan sebelum ‘dummy’ Ketua Pasukan, Shahrulnizam Mustapa yang mengelirukan pemain pertahanan Kelantan mudah disempurnakan menerusi rembatan kencang Mohd Shafiq.

Dua minit kemudian, pemain tengah Kelantan, Danial Fadzly Abdullah mempunyai peluang terbaik untuk merapatkan jurang namun sepakan percumanya ditepis keluar Mohd Nasril. Sementara sepakan percumanya sekali lagi dua minit selepas itu hanya melintasi pintu gol Perak  biarpun Mohd Nasril sudah pun tertewas daripada kedudukannya. 

Ketinggalan dua gol, Kelantan jelas bermain bermain dalam keadaan tertekan biarpun menguasai sebahagian babak perlawanan separuh masa pertama. Malah, pergerakan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha tampak begitu sukar setelah dibayangi tiga pemain pertahanan tuan rumah.

Enam minit babak kedua berlangsung, pasukan Perak hampir memperolehi gol ketiga mereka setelah kesilapan penjaga gol, Khairul Fahmi gagal menangkap kemas sepakan percuma pemain Perak namun Akmal Rizal sekali lagi gagal memanfaatkan peluang tersebut.

Pada m-55, Danial Fadzly sekali lagi mencemaskan pintu gol tuan rumah menerusi percubaan di luar kotak penalti yang menyaksikan Mohd Nasril terpaksa merebahkan badan untuk menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi.

Akmal Rizal menebus kembali kesilapannya terdahulu apabila menjaringkan gol ketiga Perak menerusi rembatan deras kaki kirinya dari luar kotak penalti pada m-78. Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi jelas bermain dibawah tahap keupayaan sebenar apabila memberikan gol mudah untuk pasukan Perak setelah gagal membaca dengan tepat rembatan bekas pemain kebangsaan itu.

Tiga minit kemudian, pemain kontroversi pasukan Perak, Razali Umar Kandasamy mengembalikan kepercayaan pihak pengurusan pasukannya apabila menjaringkan gol keempat Perak. Berpunca daripada lorongan Mohd Noor Hazrul Mahd Mustafa, Razali bijak melepasi perangkap ofsaid pertahanan Kelantan sebelum meledakkan rembatan untuk menewaskan Khairul Fahmi buat kali keempat.

Sementara itu, satu-satu peluang terbaik Kelantan pada penghujung perlawanan hadir pada m-84 menerusi sepakan percuma Zairul Fitree Ishak yang menyaksikan tampanan Norshahrul Idlan terkena palang gol pasukan tuan rumah.

Kesebelasan utama pemain :

PERAK : Mohd Nasril Mat Nourdin, Mohd Hisyamuddin Shaari, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri (Mohd Nasir), Mohd Syazwan Mohd Roslan, Isma Alif Mohd Salim, K Nanthakumar, Shahrulnizam Mustapa (KP), Mohd Noor Hazrul Mahd Mustafa, Chan Wing Hoong, Mohd Shafiq Jamal (Razali Umar Kandasamy) dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli (Wan Hossen Wan Abd Ghani).

FORMASI 4-4-2

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin (S Subramaniam), Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya, Danial Fadzly Abdullah (Mohd Nizab Ayub), Mohd Shakir Shaari Solehin Kanasian Abdullah (Mohd Izuan Salahuddin), Norshahrul Idlan Talaha (KP) dan S Chanturu.

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Perak (2) Kelantan (4)
Percubaan tersasar : Perak (2) Kelantan (6)
Sepakan sudut : Perak (1) Kelantan (12)
Sepakan percuma : Perak (9) Kelantan (24)
Offsaid : Perak (6) Kelantan (0)
Kekasaran : Perak (17) Kelantan (8)
Kad kuning : Perak ( Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri, Mohd Syazwan Roslan dan Chan Wing Hoong) Kelantan (Mohd Shakir Shaari, S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Enam minit
Penguasaan bola : Perak (45%) Kelantan (55%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Mohd Zamzaidi Katimin
Penolong Pengadil 1: Wan Ismail Wan Ali
Penolong Pengadil 2: Azrul Zairil Abdul Hamid
Pegawai Keempat : Mohd Shahril Abu Seman
Komisioner Perlawanan : Mustaq Khan Mohd Alias Khan
General Kordinator : Abdul Rais Mohd Shaarani

2 comments:

  1. game paling truk stakat ni. pasing betrabur, defen huru hara. apek buleh doh nok rehat pun.

    ReplyDelete