Thursday, April 14, 2011

KEKALAHAN SUKAR DITERIMA

Penyerang Perak, AKmal Rizal (tengah) cuba melepasi kekangan Mohd Rizal Fahmi dalam perlawanan yang menyaksikan Perak menang 4-0 ke atas Kelantan di Stadium Perak, Ipoh, malam semalam.

KOTA BHARU – Tewas dengan jaringan satu gol mungkin boleh diterima namun kekalahan besar empat gol tanpa balas menceritakan segala-galanya bahawa perjalanan The Red Warriors untuk menjulang kejuaraan Liga Super musim ini tidak semudah yang disangkakan biarpun memulakan saingan liga pada awal musim dengan permulaan yang cukup cemerlang.

Dalam perlawanan Liga Super malam semalam, Perak berjaya membelasah Kelantan menerusi kemenangan mudah 4-0 dihadapan hampir 25,000 penyokong setia Kejor Yob Kejor di Stadium Perak, Ipoh.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui sukar menerima kekalahan besar pasukan bimbingannya apatah lagi kunjungan The Red Warriors ke Ipoh berbekalkan semangat yang cukup tinggi setelah mengalahkan KL Felda United FC dengan kemenangan besar 6-0 tempohari. 

Norshahrul Idlan Talaha dilayankan kad kuning kerana melakukan terjahan keras ke atas pemain pertahanan Perak dalam perlawanan malam semalam.

“Inilah bola sepak, apabila kita tidak bermain dengan baik akhirnya kita dihukum (dengan kekalahan). Jelas pemain kita bermain dibawah tahap keupayaan yang sebenar dalam perlawanan ini. Kekalahan ini cukup pahit untuk ditelan namun saya perlu akur dan menerimanya dengan hati terbuka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Aksi barisan pertahanan kita cukup mengecewakan saya. Banyak kesilapan dilakukan oleh pemain pertahanan kita. Awal-awal lagi Perak memperolehi gol pertama mereka sedangkan kita pemain baru hendak menyesuaikan diri dengan rentak perlawanan. Saya fikir keadaan itu tidak seharusnya berlaku dalam perlawanan sepenting itu.

“Kalau dilihat, memang kita menguasai perlawanan dan melancarkan banyak serangan namun tidak satu pun diterjemahkan dalam bentuk jaringan. Kita kehilangan satu atau dua peluang terbaik untuk merapatkan jurang. Memang kita ada banyak peluang namun pemain kita hilang keyakinan lebih-lebih lagi ketika kita ketinggalan. Lebih buruk lagi, jentera tengah kita turut hilang fokus pada separuh masa kedua,” katanya.

Menilai kembali persembahan anak buah Norizan Bakar dalam perlawanan itu, Karathu secara terbuka memberi pujian kepada barisan pemain Perak yang disifatkan cukup sempurna segala-galanya disemua posisi pada perlawanan itu.

Mimpi ngeri bagi penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat setelah melepaskan empat gol dalam perlawanan, malam semalam.

“Corak permainan pasukan Perak cukup pantas malah aksi pemain kita tenggelam dengan corak permainan mereka. Mereka sentiasa memberi tekanan kepada kita malah serangan balas mereka juga berjaya sentiasa memerangkap barisan pertahanan kita.

“Gol pertama Perak ternyata membakar semangat pemainnya untuk terus beraksi lebih baik. Tidak sampai 30 minit perlawanan berlangsung kita ketinggalan dua gol. Itu menyerlahkan sepenuhnya kelemahan pasukan kita terutama dibenteng pertahanan dalam perlawanan itu.

Karathu turut merakamkan kekecewaannya diatas prestasi hambar penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang melepaskan empat gol dalam perlawanan itu.

“Sebagai penjaga gol kebangsaan, dia tidak seharusnya melepaskan gol semudah itu. Gol ketiga itu terlalu mudah dijaringkan dan saya fikir gol tersebut telah membunuh semangat juang pemain kita. Saya berharap dia belajar daripada kekalahan dan menjadikan sebagai satu pengajaran untuk beraksi lebih baik pada perlawanan akan datang,” katanya.

2 comments:

  1. apek keno rehat, bui peluang matchah

    ReplyDelete
  2. karathu tak patut finger point ke apek sore lagu tu...

    ReplyDelete