Wednesday, March 16, 2011

LALUAN SUKAR MENANTI KELANTAN

KELANTAN 2
Muhd Badhri Radzi (m-45)
Norshahrul Idlan Talaha (m-70)

KL FELDA UNITED FC 2
Muhammad Zamri Chin (m-31)
Liew Kit Kong (pen m-90)

Penyerang Kelantan, Muhammad Kahlid Jamlus diasak  penjaga gol Felda United FC, Mohd Hamsani Ahmad selepas dia menjatuhkan Norshahrul Idlan Talaha

KOTA BHARU – Kelantan meniti laluan sukar untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir setelah sekadar seri 2-2 dengan KL Felda United FC dalam aksi perlawanan suku akhir pertama Kejohanan Piala FA yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi.

Lapan kad kuning, masing-masing lima untuk Felda United FC dan tiga bagi Kelantan sambil insiden bantahan daripada pemain Kelantan terhadap keputusan pengadil yang memberikan sepakan penalti kepada pasukan pelawat pada penghujung babak perlawanan mewarnai aksi sepanjang 90 minit perlawanan yang disaksikan hampir 25,000 penyokong setia The Red Warriors.

Walaubagaimanapun, penentuan mutlak pasukan mana yang layak ke peringkat separuh akhir akan ditentukan apabila kedua-dua pasukan turun berentap sekali lagi dalam perlawanan suku akhir kedua yang berlangsung di gelanggang yang sama pada Sabtu ini.

Seawal minit kedua, Kelantan terlebih dahulu menguji pintu gol Felda United FC namun rembatan jarak jauh S Chanturu daripada luar kotak penalti sedikit tersasar sebelah kanan pintu gol.

Selang seminit kemudian, giliran pemain Felda United FC, Liew Kit Kong mencemaskan pintu gol Kelantan namun rembatannya dari luar kotak penalti terus ke dakapan Khairul Fahmi Che Mat.

Pada m-20, Norshahrul Idlan Talaha mensia-siakan peluang terhidang untuk meletakkan Kelantan didepan. Hantaran pendek Muhd Badhri Radzi ditampan kemas olehnya dan sempat memperdayakan Ketua Pasukan Felda United, Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussain sebelum melepaskan rembatan yang sedikit melewati palang gol.

Pada m-28, Felda United FC turut terlepas peluang untuk berada didepan apabila rembatan jarak dekat pemain sayapnya, Faderin Kadir didalam kotak penalti ditepis keluar Khairul Fahmi.

Walaubagaimanapun, Felda United FC terlebih dahulu ceria berada didepan pada m-31 perlawanan menerusi jaringan Muhammad Zamri Chin. Bermula serangan pantas, hantaran lintang pemain tengah, Mohd Badrul Azam Zamri mudah ditanduk Muhammad Zamri menewaskan Khairul Fahmi dipintu gol Kelantan.

Tiga minit kemudian, Norshahrul Idlan sekali lagi kempunan untuk menyamakan kedudukan untuk Kelantan apabila gagal merembat tepat ke gawang Felda United FC. Kesilapan Muhammad Kaironnisam Sahabudin yang gagal mengeluarkan bola dalam kawasan merbahaya pantas direbut Muhammad Khalid Jamlus yang kemudian melorongkan kepada Norshahrul Idlan namun rembatannya  tinggi melepasi palang.

Namun, gol penyamaan yang dinanti-nantikan hadir pada minit-minit akhir babak pertama. Umpanan Norshahrul Idlan pantas disempurnakan Muhd Badhri menerusi rembatan kencang yang tepat menerjah jaring sebelah kanan pintu gol untuk menewaskan Mohd Hamsani Ahmad.

Babak kedua memperlihatkan penguasaan ketara pasukan Kelantan apabila Chanturu memulakan aksi agresif pada m-46 menerusi percubaan yang terus ke dakapan Mohd Hamsani manakala percubaan Mohd Nurul Azwan Roya didalam kotak penalti enam minit kemudian sedikit melewati palang.

Begitu pun, Felda United FC tetap memberi ancaman merbahaya apabila mempunyai dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol menerusi percubaan Faderin pada m-56 tetapi sedikit tersasar manakala rembatannya seminit selepas itu mudah dibaca Khairul Fahmi.

Pada m-61, Mohd Nurul Azwan sekali gagal menterjemahkan percubaannya dalam bentuk jaringan apabila rembatannya terus kedakapan Mohd Hamsani biarpun bijak memanfaatkan lorongan cantik daripada Norshahrul Idlan sebelum itu.

Pada m-69, Faderin sekali gagal untuk meletakkan Felda United FC berada dalam keadaan selesa apabila rembatan padunya hanya melintasi pintu gol Kelantan biarpun Khairul Fahmi sudah tertewas ketika itu.

Penyerang prolifik kebangsaan, Norshahrul Idlan kembali menggamatkan suasana di stadium apabila berjaya menjaringkan gol pada m-70 perlawanan. Berpunca hantaran pendek Muhd Badhri didalam kotak penalti, Norshahrul Idlan pantas melepaskan rembatan kencang menewaskan Mohd Hamsani untuk menghasilkan gol kedua pasukan Kelantan.

Tindakan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi mengasari Rames Lai Ban Huat didalam kotak penalti pada minit-minit akhir perlawanan mengundang padah apabila dikesan oleh penjaga garisan dalam perlawanan itu.

Pengadil perlawanan, Mohd Zamzaidi Katimin memberikan sepakan penalti kepada pasukan pelawat biarpun cuba dibantah oleh pemain Kelantan. Bekas pemain kebangsaan, Liew Kit Kong tenang merembat ke penjuru sebelah kiri untuk menghasilkan gol penyamaan bagi pasukannya.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin (Khairan Eruan Razali), Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Farisham Ismail, Mohammad Ab Aziz Ismail, Mohd Nurul Azwan Roya (Khairan Eroza Razali), Muhd Badhri Radzi (KP), Shakir Shaari, S Chanturu, Muhammad Khalid Jamlus (Solehin Kanasian Abdullah) dan Norshahrul Idlan Talaha.

FORMASI : 4-4-2

KL FELDA UNITED FC : Mohd Hamsani Ahmad, Abdul Ghani Abd Rahman, Rames Lai Ban Huat, Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussain (KP), Mohd Khairul Anuar Jamil (Mohd Nizam Abu Bakar), Mohd Badrul Azam Zamri, Mohd Lot Abu Hassan (Mohd Syazwan Zainol), Liew Kit Kong, Muhammad Zamri Chin (Mohd Nizaruddin Yusoff), Mohd Azrul Ahmad dan Faderin Kadir.

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (8) KL Felda United FC (4)
Percubaan tersasar : Kelantan (8) KL Felda United FC (6)
Sepakan sudut : Kelantan (6) KL Felda United FC (5)
Sepakan percuma : Kelantan (10)  KL Felda United FC (11)
Offsaid : Kelantan (4) KL Felda United FC (4)
Kekasaran : Kelantan (7) KL Felda United FC (6)
Kad kuning : Kelantan (Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat) KL Felda United FC (Mohd Lot Abu Hassan, Muhammad Zamri Chin, Mohd Azrul Ahmad, Mohd Hamsani Ahmad dan Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussain)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Lapan minit
Penguasaan bola : Kelantan (52%) KL Felda United FC (48%)

PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Mohd Zamzaidi Katimin
Penolong Pengadil 1: M Sivanesan
Penolong Pengadil 2: Ahmad Azanor Huslan
Pegawai Keempat : Mohd Rahimi Md Nor
Komisionel Perlawanan : Ahmad Zuhairi Mohd Sham
General Kordinator : Arif Hassan

2 comments:

  1. guano apex napok down loni?
    letih ko guano?

    ReplyDelete
  2. leteh 2 boh..dio main yak tahun lepah ag takdok reh..lepah me6 pm 2010,g d cino sukan asia,blik msia 2 x de balik kapom kno g d indon plokk..piala aff suzuki,balik main liga..keno main kelayake s.olimpik plokk..pah 2 balik main liga plokk..robot pun ado rehat jgok ko guano gu..

    ReplyDelete