Elavarasan serius memberi arahan kepada pemain KL Felda United FC dalam sesi latihan bagi menghadapi Kleantan di Kota Bharu, malam ini.
KOTA BHARU – Selepas Pahang, kali ini giliran pendatang baru Liga Super musim ini iaitu Kuala Lumpur Felda United FC pula bersedia memalukan Kelantan apabila kedua-dua turun beraksi dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.
Jurulatihnya, E Elavarasan berkata, walaupun prestasi pasukannya kian memuncak dalam saingan liga, namun dia tidak mahu mendabik dada sebaliknya pasukannya tetap akan turun sebagai ‘underdog’ menghadapi Kelantan malam ini.
“Saya tetap menghormati kemampuan pasukan Kelantan. Walaupun mereka tewas 0-2 kepada Pahang dalam perlawanan Liga Super, tetapi saya percaya kekalahan tersebut tidak mematahkan semangat mereka apabila menghadapi kita pada perlawanan malam ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian sebelum berlepas ke Kota Bharu pagi semalam.
“Kita akan turut sebagai underdog dalam perlawanan ini. Diatas kertas, kelebihan tetap memihak kepada Kelantan kerana mempunyai rekod yang sangat baik beraksi ditempat sendiri tambahan pula mempunyai sokongan padu daripada penyokong fanatik mereka sendiri.
“Kedua-dua perlawanan suku akhir Piala FA ini akan berlangsung di Kota Bharu. Suka atau tidak, kita terpaksa melaluinya dan kita mengharapkan mendapat keputusan seri dalam perlawanan pertama ini sebelum mencipta kejutan pada aksi suku akhir kedua,” katanya.
Ditanya mengenai persiapan pasukannya, Elavarasan mengakui tidak ada persiapan khusus dilakukan oleh pasukannya bagi menghadapi Kelantan pada perlawanan malam ini setelah mengalami kepenatan sekembalinya ke ibu negara sebelum berlepas ke Kota Bharu hari ini (semalam).
“Persiapan kita biasa sahaja sekembali daripada Kangar kelmarin. Saya berpuas hati kita menang 2-0 ke atas Perlis namun itu bukan ukuran sebenar kerana kita berhadapan dengan pasukan yang lemah dan menduduki tangga tercorot.
“Dari segi percaturan pemain, saya kehilangan beberapa pemain yang tidak dapat diturunkan. Azi Shahril (Azmi) digantung perlawanan dan tempat dia akan diisi Muhammad Juzaili Samion. Amir Shahreen (Abd Mubin) masih berehat panjang sementara penjaga gol, Mohd Hamsani (Ahmad) juga besar kemungkinan tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan.
“Saya dijangka mempertaruhkan gandingan bekas penyerang kebangsaan, Mohd Nizaruddin (Yusoff) berpasangan dengan Faderin (Kadir) dibahagian serangan. Sementara itu, Liew Kit Kong pula akan bertindak sebagai ‘attacking midfielder’ dalam perlawanan malam ini,” katanya.
sep dio mari nga bas kor? juppo kelmarin masa on d way nok kelik KL
ReplyDelete