KOTA BHARU – Sekalipun tanpa kelibat S Subramaniam dan Muhammad Khalid Jamlus di kem Kelantan, namun tidak ada laluan mudah bagi pasukan Pahang untuk mencalarkan rekod tanpa kalah Kelantan dalam enam perlawanan setakat ini apabila kdua-dua pasukan turun beraksi dalam perlawanan ketujuh Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.
Enggan digelar skuad tempang, Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui pasukannya sudah bersiap sedia sepenuhnya menghadapi percaturan taktikal Dollah Salleh walaupun menyedari ranjau berduri menanti para pemainnya apabila beraksi dihadapan penyokong tuan rumah.
“Saya tidak mahu merendahkan keupayaan mana-mana pasukan. Setiap pasukan yang bermain ditempat sendiri mahukan kemenangan dan Pahang tidak terkecuali mempunyai motivasi tinggi untuk mengalahkan Kelantan lebih-lebih lagi kita masih mengekalkan kedudukan selaku penerajui carta liga ketika ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas sesi latihan terakhir pasukan Kelantan, semalam.
“Kita kena mengekalkan kekuatan mental. Kita baru satu bulan mengharungi saingan liga dan kita kena bekerja kuat ke arah itu walaupun kecederaan melanda pasukan kita. Tidak ada masalah besar, inilah masanya saya menurunkan pemain baru walaupun tanpa khidmat Subra (S Subramaniam) dan Muhammad Khalid (Jamlus) sekalipun.
“Dalam perlawanan seperti ini, kita tidak mempunyai banyak pilihan kerana bermain ditempat lawan. Sama seperti perlawanan menentang Johor FC (dalam pusingan kedua kalah Piala FA) baru-baru ini, kita mempunyai dua ke tiga peluang dan kita berjaya menjaringkan gol hasil daripada peluang yang kita miliki itu.
Menurut Karathu, para pemain Kelantan harus memanfaatkan peluang terhidang dengan menjaringkan gol sebaik mungkin meskipun mempunyai peluang yang terhad dalam perlawanan tersebut bagi memberi tekanan kepada pemain Pahang.
“Setakat ini saya berpuas hati dengan komitmen semua pemain, kita tidak ada (penerima) kad merah dan kutipan kad kuning pun kurang ….kita betul-betul main bola sepak. Saya harap pemain kita menjaga maruah pasukan dan menang pada perlawanan malam ini.
Ditanya mengenai khidmat kedua-dua pemain dari Perak itu yang terpaksa disisihkan dalam perlawanan malam ini, walaubagaimanapun Karathu mengakui masalah tersebut tidak menggangu persiapan pasukannya bagi menghadapi skuad Tok Gajah malam ini.
“Saya terpaksa merehatkan Subramaniam dan berharap dapat menggunakan khidmat dia pada pertemuan suku akhir Piala FA (menentang KL Felda United FC) Selasa depan manakala khidmat Muhammad Khalid (Jamlus) terpaksa diketepikan kerana mengalami kecederaan lutut.
“Kita akan turun dengan formasi seperti biasa iaitu 4-4-2, tidak ada masalah bagi saya kerana kita ada ramai pemain seperti Piya (Muhd Badhri Radzi) atau S Chanturu membantu jentera serangan. Semua perancangan dalam minda saya dan kita ada strategi tersendiri menghadapi Pahang malam ini.
“Sudah pasti Pahang bersandarkan kepada penyerang seperti R Karthigesu dan R Surendran selain pemain muda, Famirul Asraf (Sayuti) bagi merobek pintu gol kita. Saya tengok pemain sayap mereka pun cukup laju. Kita kena sekat kemaraan mereka, dan saya fikir sekiranya kita mampu berbuat demikian, kita tidak menghadapi masalah untuk menang malam ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment