Pemain Pahang, Mohd Fazli Baharudin (kanan) perlu diberi perhatian oleh benteng pertahanan Kelantan dalam perlawanan malam ini
KOTA BHARU – Andai ada ancaman besar yang menanti benteng pertahanan Kelantan, ianya bukannya sahaja hadir menerusi rangkaian penyerang, R Surendran dan Azammuddin Mohd Akil sebaliknya kelibat pemain muda, Famirul Asraf Sayuti juga perlu diberi perhatian sekiranya Kelantan tidak mahu berputih mata pulang ke Kota Bharu.
Malam ini, Kelantan akan turun menentang Pahang dalam usahanya mengekalkan rekod tanpa kalah dan menerajui takhta liga dalam perlawanan ketujuh Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Ledakan empat gol setakat ini termasuk dua jaringan ketika menyingkirkan Selangor PKNS FC dalam pusingan kedua Piala FA baru-baru ini membuktikan kelibat pemain berusia 22 tahun dan dilahirkan di Kelantan itu merupakan satu ancaman yang cukup besar kepada anak buah Datuk M Karathu.
Malah Karathu sendiri turut menyedari kelibat pemain berjersi nombor 11 itu cukup merbahaya dan mampu memberi masalah kepada benteng pertahanan Kelantan sekiranya pemain tersebut diberi ruang terlalu bebas berlegar-legar di pintu gol Kelantan.
Sementara kelibat pemain-pemain lain seperti Mohd Alafi Mahmud, Mohd Saiful Nizam Miswan, Zaiza Zainal Abidin dan Mohd Fazli Baharudin mampu menghadirkan gol untuk Pahang sekiranya tidak diberi perhatian sepenuhnya oleh pemain Kelantan.
Walaupun menduduki tangga kelapan liga setakat ini dengan mengutip tujuh mata hasil dua kemenangan, sekali seri dan mencatatkan tiga kekalahan namun itu bukan ukuran sebenar kekuatan pasukan Tok Gajah sementelah perlawanan liga masih belum mecapai separuh perjalanan.
Rekod pertemuan sepanjang musim lalu berpihak kepada The Red Warriors namun itu tidak bermakna Kelantan boleh bermegah dengan pencapaian tersebut. Dalam perlawanan pusingan di Kota Bharu, Kelantan menang tipis 2-1 sebelum aksi timbal balas di Kuantan berkesudahan terikat seri 3-3.
Walaupun Stadium Darul Makmur tidak menjanjikan sebarang kelebihan kepada Pahang biarpun mereka beraksi digelanggang sendiri, namun sesuatu harus dipelajari bahawa Kelantan hampir tersungkur dalam aksi liga musim lalu apabila dikejutkan dengan jaringan 3-1.
Namun dua gol dalam tempoh tiga minit penghujung perlawanan menyelamat maruah Kelantan daripada diaibkan dalam perlawanan tersebut. Segalanya hanya ditentukan dalam tempoh masa 90 minit perlawanan malam ini dan tidak mustahil Kelantan mampu mengulangi pencapaian yang dilakukan oleh pasukan Perak yang pernah mengalahkan Pahang 2-0 di Kuantan dalam aksi Liga Super pada 26 Februrari lalu.
No comments:
Post a Comment