Sunday, February 27, 2011

PUAS HATI WALAUPUN SERI

Kesebelasan utama pemain Kelantan yang diturunkan dalam perlawanan menentang Kedah di Alor Setar, malam tadi.

KOTA BHARU – Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya sekali pun sekadar berkongsi mata dengan Kedah dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam semalam.

Dalam perlawanan itu, Kedah terlebih dahulu berada didepan menerusi jaringan penyerang utamanya, Azlan Ismail pada m-57 sementara gol penyamaan Kelantan dijaringkan oleh penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha pada m-79. 

Karathu berkata, walaupun beraksi dibawah tekanan tetapi kejayaan anak buahnya mencuri satu mata di gelanggang lawan sudah cukup memadai bagi pasukannya untuk dibawa pulang ke Kota Bharu.

“Pada separuh masa pertama kita menguasai sebahagian babak perlawanan dan mendapat satu hingga dua peluang tetapi barisan depan pasukan kita gagal memanfaatkan peluang tersebut,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam semalam.

“Namun rentak perlawanan mula berubah pada separuh masa kedua, Kedah kembali menunjukkan corak permainan pantas dan turut mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol. Selepas itu kita kembali menguasai perlawanan dan memperolehi dua hingga tiga peluang untuk menjaringkan gol

“Walaupun Kedah menjaringkan gol terlebih dahulu tetapi kita tetap berupaya menyamakan kedudukan selepas itu. Kita seharusnya pulang dengan mata penuh dalam perlawanan itu sekiranya peluang pada minit-minit terakhir tidak dipersiakan. Walauapapun, saya tetap berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan pemain saya,” katanya.

Menurut Karathu, beliau mengakui jentera serangan masih belum berfungsi dengan sempurna walaupun mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol dalam perlawanan itu.

“Banyak perkara perlu diperbaiki dibahagian tersebut. Kita mencipta peluang tetapi penyudah kita tumpul. Perlawanan menentang Negeri Sembilan di Kota Bharu pada hari Selasa ini merupakan satu perlawanan yang sukar. Namun saya percaya pemain mampu kembali bangkit mencipta kemenangan,” katanya.

Sementara itu, penjaring gol penyamaan Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha walaubagaimanapun melahirkan kekecewaan kerana tidak dapat membantu Kelantan meraih tiga mata dalam perlawanan itu meskipun Kelantan mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol dalam perlawanan itu.

1 comment: