Saturday, February 26, 2011

KELANTAN NYARIS DIAIBKAN


KEDAH 1
Azlan Ismail (m-57)

KELANTAN 1
Norshahrul Idlan Talaha (m-79)

ALOR SETAR – Pendahulu liga, Kelantan terselamat daripada diaibkan oleh Kedah apabila berjaya mengikat pasukan tuan rumah dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.

Gol penyamaan menerusi penyerang terbilang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha pada m-79 menyelamatkan rekod tanpa kalah Kelantan dalam lima perlawanan setakat ini daripada dicalarkan oleh Kedah dalam perlawanan malam tadi.

Pasukan tuan rumah yang melakukan sepak mula mengancam seawal minit pertama menerusi percubaan Ketua Pasukannya, Ahmad Fauzi Shaari namun rembatan volinya jauh tersasar pintu gol Kelantan.

Pada minit kelapan, Kelantan hampir memperolehi gol pendahuluan menerusi percubaan pemain sayap kiri, Mohd Nurul Azwan Roya daripada luar kotak penalti namun rembatan kencangnya terkena palang gol Kedah.

Kedah yang menurunkan barisan terkuatnya bagi menghadapi Kelantan turut membariskan penyerang utamanya, Azlan Ismail begitu pun nyaris memperolehi gol pada m-24 namun rembatan kencang pemain tengah, Amar Rohidan dari luar kotak penalti ditepis keluar penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang beraksi cemerlang malam tadi.

Selang seminit kemudian, giliran Kelantan mencemaskan pintu gol tuan rumah menerusi sepakan percuma dilakukan Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi yang sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Kedah.

Sementara itu, penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi sekali lagi bertindak cemerlang pada m-38 apabila menepis keluar rembatan kencang penyerang Kedah, Baddrol Bakhtiar bagi menyelamatkan pintu gol Kelantan daripada dibolosi.

Muhd Badhri seharus menyalahkan dirinya sendiri apabila melepaskan dua peluang keemasan untuk meletakkan Kelantan berada dalam keadaan selesa sebelum menuju ke bilik persalinan pada separuh masa pertama. Pada m-42, gerakan solonya dari tengah padang disudahi dengan rembatan tinggi melepasi jangkauan penjaga gol Kedah, Abdul Hadi Abdul Hamid.
Penyerang Kelantan, Muhammad Ramzul Zahini Adenan dikepung tiga pemain pertahanan Kedah dalam perlawanan malam tadi.
 
Sementara pada minit-minit akhir babak pertama, lontaran ke dalam yang dilakukan Zairul Fitree Ishak kepada Muhd Badhri dipersia-siakan apabila dia menyepak tinggi melepasi palang biarpun berada dalam keadaan yang cukup selesa untuk meletakkan bola ke dalam gawang Kedah.

Babak kedua memperlihatkan perubahan yang ketara corak permainan pasukan Kedah apabila melancarkan serangan bertali arus ke pintu gol Kelantan. Pada m-50, penyerang Kedah, Azlan Ismail gagal menyambut baik hantaran lintang Baddrol dihadapan pintu gol Kelantan manakala pada m-54 rembatan kaki kirinya terus ke pangkuan Khairul Fahmi.

Tiga minit kemudian, pemain yang berasal dari Kelantan itu menggamatkan sorakan penyokong setia Hijau Kuning apabila menjaringkan gol pendahuluan bagi pasukannya. Hantaran lintang daripada sebelah kanan pintu gol Kelantan oleh Baddrol mudah ditampan olehnya untuk menewaskan Khairul Fahmi di pintu gol Kelantan.

Ternyata gol tersebut memberi tekanan kepada pasukan Kelantan apabila barisan pemain Kedah semakin bersemangat untuk terus menambahkan jaringan. Pemain pertahanan Kedah, Azmi Muslim hampir menambahkan gol kedua pada m-67 apabila melakukan rembatan jarak jauh setelah melepasi perangkap ofsaid pertahanan Kelantan.

Kelantan yang terus tertekan untuk mencari gol penyamaan terpaksa mengeluarkan Mohd Nurul Azwan dan digantikan Mohd Nizab Ayub bagi menguatkan jentera serangannya. Sentuhan pertama Mohd Nizab hadir pada m-75 namun rembatan kaki kirinya tersasar jauh daripada pintu gol Kedah.

Empat minit kemudian, gol penyamaan untuk pasukan Kelantan akhirnya terhasil apabila lambungan Mohd Nizab ditampan kemas Norshahrul Idlan Talaha didalam kotak penalti sebelum meledakkan voli kencangnya untuk menewaskan Abdul Hadi.
Penyerang terbilang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha cuba melepasi kekangan Mohd Sabre Mat Abu.
 
Ternyata gol tersebut membakar semangat pemain Kelantan untuk terus menambahkan jaringan selepas itu. Pada m-86, Ketua Pasukan Kelantan, Muhd Badhri sekali lagi mensia-siakan peluang terhidang apabila gagal menyempurnakan tindakan susulan daripada tandukan Muhammad Ramzul Zahini Adenan sebelum itu sekali pun pintu gol Kedah sudah terbuka luas.

Sementara dua percubaan oleh pasukan Kedah dan Kelantan dalam minit-minit akhir perlawanan menerusi rembatan kencang Norshahrul Idlan yang diselamatkan Abdul Hadi manakala percubaan Azlan Ismail ditepis keluar Khairul Fahmi sekadar menutup tirai aksi perlawanan kelima bagi kedua-dua pasukan dengan berpuas hati berkongsi mata di Alor Setar malam tadi.

Kesebelasan utama pemain :

KEDAH: Abdul Hadi Abdul Hamid, Khairul Helmi Johari, Mohd Fauzie Nan, Mohd Azmi Muslim (Wan Mohd Asyraf Wan Ali), Ahmad Fauzie Shaari (KP) (Shahril Faizal Ahmad Sharifuddin), Amar Rohidan, Mohd Sabre Mat Abu, Baddrol Bakhtiar, V Thirumurugan, Mohd Khyril Muhymeen Zamri (Mohamad Faizal Abu Bakar) dan Azlan Ismail.

FORMASI : 4-4-2

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, Zairul Fitree Ishak (S Subramaniam), Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Farisham Ismail, Mohd Nurul Azwan Roya (Mohd Nizab Ayub), Muhd Badhri Radzi (KP), S Chanturu (Solehin Kanasian Abdullah), Mohd Shakir Shaari, Muhammad Ramzul Zahini Adenan dan Norshahrul Idlan Talaha.

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kedah (6) Kelantan (4)
Percubaan tersasar : Kedah (5) Kelantan (6)
Sepakan sudut : Kedah (7) Kelantan (4)
Sepakan percuma : Kedah (15)  Kelantan (17)
Offsaid : Kedah (5) Kelantan (2)
Kekasaran : Kedah (11) Kelantan (13)
Kad kuning : Kedah (Mohd Fauzie Nan dan Mohd Sabre Mat Abu) Kelantan (Mohd Daudsu Jamaludin)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Tiga minit
Penguasaan bola : Kedah (52%) Kelantan (48%)

PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Nagor Amir Noor Mohamad
Penolong Pengadil 1: Mohd Abdul Shuki Said
Penolong Pengadil 2: Ahmad Azanor Huslan
Pegawai Keempat : Asrul Zairi Abdul Hamid
Komisioner  Perlawanan : Zainal Abidin Yaacob
General Kordinator : Shahril Ismail

No comments:

Post a Comment