Thursday, February 10, 2011

KELANTAN TIDAK MAHU CICIR MATA


Pemain Skuad Piala Presiden Kelantan yang akan mengharungi saingan Liga Piala Presiden musim  ini.

KOTA BHARU – Skuad Piala Presiden Kelantan berazam untuk mengutip tiga mata penuh apabila turun menentang Johor FC perlawanan pertama Kumpulan A Liga Piala Presiden di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu petang ini.

Penolong Jurulatihnya, Mohd Nafuzi Mohd Zain berkata, persiapan rapi pasukan yang bermula sejak sebulan lalu akan ditentukan melalui perlawanan pertama menentang naib juara musim lalu, Johor FC dalam perlawanan petang ini.

“Latihan insentif yang dimulakan sejak sebulan lalu lebih menitik beratkan pembentukan pasukan disamping memperbaiki kelemahan dalam pasukan ini. Kita akan buktikan dengan apa yang kita lakukan sejak sebulan dengan menterjemahkan menerusi kemenangan dalam perlawanan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Saya begitu optimis kita bahawa pemain kita sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk menghadapi perlawanan ini dan mampu untuk mengutip tiga mata penuh.

“Sama ada suka atau tidak, kita mesti memungut tiga mata dalam perlawanan ini bagi menyuntik moral para pemain sebelum kita menghadapi perlawanan menentang Sabah di Kota Kinabalu pada 17 Februari nanti,” katanya.

Mohd Nafuzi berkata, walaupun persiapan pasukan Kelantan dibelenggu masalah ekoran beberapa pemain mengalami kecederaan namun itu tidak merencatkan persiapan pasukan secara keseluruhannya.

“Antara pemain yang berada dalam senarai mengalami kecederaan ialah bekas pelatih skuad remaja kelab Cardiff City iaitu Nicholas Chan Meng-Jin. Namun saya melihat ini tidak menjadi masalah yang besar kerana kita mempunyai ramai pemain yang berpotensi dan berbakat bagi menggantikan pemain tercedera.

Ditanya mengenai peluang pasukan Kelantan dalam perlawanan petang ini, Mohd Nafuzi berkata, beliau mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa pasukannya berupaya mencatatkan kemenangan dalam perlawanan itu.

“Gandingan yang dipertaruhkan iaitu bekas pemain Liga Super Kelantan, Mohd Zamri Ramli dan bekas pemain Harimau Muda, Mohd Khairul Izuan Rosli mampu menyuntik semangat kepada rakan sepasukan yang lain untuk kita memburu kemenangan.

“Beraksi ditempat sendiri memberi kelebihan kepada pasukan kita dan saya percaya kita mampu mengatasi pasukan yang dibimbingbekas jurulatih Liga Super Johor FC musim lalu, Ramlan Rashid dalam perlawanan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment