Saturday, February 19, 2011

KELANTAN SINGKIR T-TEAM

Penyerang T-Team, Mohd Haris Safwan Md Kamal cuba melepasi pemain pertahanan Kelantan, Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid.
 
T-TEAM 1
Indra Putra Mahayuddin (m-61)

KELANTAN 1
Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid (m-53)

(Kelantan menang menerusi penentuan sepakan penalti 6-5)

KUALA TERENGGANU – Kelantan menamatkan cabaran awal T-Team dalam saingan Kejohanan Piala FA musim ini apabila meraih kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti 6-5 ke atas kelab dari Terengganu itu dalam aksi perlawanan kalah mati yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi. 

Dalam aksi yang berlarutan sehingga ke masa tambahan, kedua-dua pasukan terikat seri 1-1. Gol Kelantan dijaringkan oleh Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid pada m-53 sementara gol penyamaan T-Team dijaringkan oleh bekas Kapten Kelantan musim lalu, Indra Putra Mahayuddin pada m-61.

Biarpun beraksi di gelanggang lawan, semangat juang pemain Kelantan sedikit pun tidak luntur malahan kejayaan mara ke pusingan kedua turut dibantu dengan sokongan hampir 3,000 penyokong setia The Red Warriors yang membanjiri stadium tersebut malam tadi.
Pemain T-Team jelas sugul setelah pasukan mereka tersingkir menerusi penentuan sepakan penalti 6-5 kepada Kelantan dalam perlawanan pusingan pertama Kejohanan Piala FA musim ini.
 
T-Team yang melakukan sepak mula terlebih dahulu mencemaskan pintu gol Kelantan menerusi sepakan percuma pada minit pertama yang diambil Indra Putra Mahayuddin dari sebelah kanan pintu gol Kelantan namun di sepak keluar Mohd Shakir Shaari. 

Selepas itu, giliran Kelantan pula membalas serangan pada minit ketujuh perlawanan menerusi percubaan Mohd Shakir Shaari yang merembat kencang namun melepasi jangkauan penjaga gol T-Team, Mohamad Syamsuri Mustafa.

Begitupun aksi hampar kedua-dua pasukan terserlah pada separuh masa pertama apabila kedua-dua pasukan dilihat mengamalkan corak permainan berhati-hati. Walaupun T-Team dilihat lebih menguasai babak perlawanan tersebut, namun ketumpulan jentera serangan mereka diketuai Mohd Haris Safwan Md Kamal dan Mohd Saaudi Sa’adi menyaksikan pasukan kendalian Ahmad Yunus Mohd Alif tidak berupaya menjaringkan gol dalam babak tersebut. 

Sementara jentera tengah Kelantan yang turun tanpa Solehin Kanasian Abdullah pula seakan kurang bermaya untuk mencipta gerakan merbahaya ke pintu gol pasukan tuan rumah. Kekebalan benteng pertahanan tuan rumah diketuai Amzar Junaidi Abd Jalil memastikan jentera serangan Kelantan begitu sukar untuk menembusi kebuntuan benteng pertahanan mereka. 

Pada m-20, Azizi Matt Rose turut terlepas peluang menjaringkan gol apabila tandukannya hsail sepakan sudut Rosdi Talib sedikit tersasar disebelah kanan pintu gol Kelantan.  

Tiga minit kemudian, pintu gol Kelantan cemas seketika apabila Khairul Fahmi gagal menangkap kemas bola sepakan sudut pemain tuan rumah tetapi Mohd Daudsu Jamaluddin pantas mengeluarkan bola daripada situasi kelam kabut didepan pintu gol Kelantan itu.

Tempoh lima minit terakhir babak pertama jelas milik T-Team apabila dua percubaan terbaik mereka, masing-masing melalui Mohd Haris Safwan Md Kamal terus kedakapan Khairul Fahmi manakala rembatan Mohd Norfarhan Muhammad pula sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Kelantan. 

Kelantan mula menukar corak permainan dengan bermain lebih agresif pada babak kedua apabila melancarkan serangan bertali arus ke pintu gol pasukan tuan rumah.

Hasilnya pada m-53, Kelantan memperolehi gol menerusi tandukan cantik pemain pertahanan Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid yang pantas memanfaatkan sepakan sudut Mohd Nurul Azwan Roya untuk menewaskan Mohd Syamsuri digawang gol T-Team.  

Kegembiraan Kelantan meraikan jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila T-Team berjaya menyamakan kedudukan lapan minit kemudian menerusi jaringan cantik ‘half volley’ Indra Putra Mahayuddin. Segalanya berpunca apabila hantaran lintang pemain gantian, Shamsul Kamal Mohamad daripada sebelah kanan pintu gol Kelantan terus kepada Indra Putra yang tidak dikawal dan dia mudah menjaringkan gol tersebut. 

Pada m-89, Indra Putra nyaris memberikan gol kemenangan kepada pasukannya namun sepakan kaki kirinya setelah menerima umpanan pendek Subri Sulong terkena palang gol Kelantan. 

Tindakan pemain pertahanan T-Team, Azizi menjatuhkan Danial Fadzly Abdullah dalam kotak penalti pada minit-minit akhir perlawanan mengundang padah apabila pengadil, Nagor Amir Noor Mohamad tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada Kelantan. 
Insiden membaling objek diantara kedua-dua penyokong turut menghiasi pada babak akhir separuh masa pertama perlawanan tersebut. 
 
Namun Kelantan terlepas untuk meraikan detik kemenangan lebih awal apabila sepakan penalti yang diambil penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan tinggi melepasi palang dan menyaksikan perlawanan diheret ke masa tambahan. 

Tempoh masa tambahan selama 30 minit menyaksikan tidak ada jaringan tambahan dilakukan oleh kedua-dua pasukan. Sebaliknya penentuan kemenangan mutlak dalam perlawanan ini terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti. Sepakan terakhir pemain pertahanan T-Team, Norfadzly Alias yang tinggi tersasar ke sebelah kanan pintu gol menyaksikan Kelantan melangkah penuh bergaya ke pusingan kedua saingan Piala FA musim ini. 

Kesebelasan utama pemain : 

T-TEAM : Mohamad Syamsuri Mustafa, Azizi Matt Rose, Norfazly Alias, Subri Sulong, Rosdi Talib (KP) (Muhd Badrul Hishani Abd Rahman), Amzar Junaidi Abd Jalil, Mohd Norfarhan Muhammad (Khairul Izwan Khalid), Indra Putra Mahayuddin, Tengku Hasbullah Raja Hassan, Mohd Saaufi Sa’adi (Shamsul Kamal Mohamad) dan Mohd Haris Safwan Md Kamal.
FORMASI : 4-4-2

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin, S Subramaniam (Danial Fadzly Abdullah), Zairul Fitree Ishak, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Farisham Ismail, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP) (Khairan Eroza Razali), Mohd Shakir Shaari, Muhammad Ramzul Zahini Adenan (Mohd Nizab Ayub) dan Norshahrul Idlan Talaha.
FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : T-Team  (3) Kelantan (2)
Percubaan tersasar : T-Team (9) Kelantan (3)
Sepakan sudut : T-Team (7) Kelantan (8)
Sepakan percuma : T-Team (23)  Kelantan (28)
Offsaid : T-Team (3) Kelantan (1)
Kekasaran : T-Team (24) Kelantan (20)
Kad kuning : T-Team (Tengku Hasbullah Raja Hassan, Norfazly Alias, Mohd Norfarhan Muhammad, Azizi Matt Rose) Kelantan (Zairul Fitree Ishak dan Mohd Farisham Ismail)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Tiga minit
Penguasaan bola : T-Team (55%) Kelantan (45%)

 PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Nagor Amir Noor Mohamad
Penolong Pengadil 1: Abdul Basith Hamid
Penolong Pengadil 2: Mohd Noor Abdul Rahman
Pegawai Keempat : Mohd Afzarizam Mamat
Komisioner  Perlawanan : Abdul Kadir Abdullah
Penilai Pengadil : Nik Ahmad Yaakub
General Kordinator : Ali Embong
Pegawai Media : Mohd Ziani A Bakar

No comments:

Post a Comment