Wednesday, February 23, 2011

KELANTAN CIPTA KEMENANGAN BERMAKNA

KELANTAN 2
Mohd Aris Zaidi (m-33)
Mohd Faiz Suhaimi (m-68)

KEDAH 1
Muhamad Aidi Huzaini (m-45)

KOTA BHARU – Kelantan bangkit mencipta kemenangan bermakna setelah mengatasi Kedah 2-1 sekalipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang tempoh 30 minit terakhir babak kedua dalam perlawanan Liga Piala Presiden yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam semalam.

Beraksi dihadapan hampir 500 penyokong sendiri, Kelantan yang melakukan sepak mula memulakan ancaman merbahaya seawal minit pertama perlawanan menerusi rembatan kencang Mohd Zamri Ramli yang terus kedakapan penjaga gol Kedah, Mohd Muhaimin.

Pasukan pelawat yang hadir ke Kota Bharu dengan misi untuk mencipta kemenangan kemudian memperolehi peluang terbaik pada minit kesembilan menerusi sepakan percuma yang diambil Tan Yang Wei namun Judtanna Eh Put pantas menumbuk keluar menyelamatkan keadaan.

Kesebelasan utama pemain Kelantan yang turun ketika pertemuan menentang Kedah, malam kelmarin.

Penyerang kembar The President Warriors, Mohd Farhan Yaakub dan Mohd Aris Zaidi turut mempunyai dua peluang terbaik meletakkan Kelantan dihadapan pada m-21 dan 25 tetapi percubaan mereka masing-masing diselamatkan Mohd Muhaimin dan sedikit melewati palang gol.

Kedah, begitu pun turut terlepas peluang sekali lagi apabila sepakan percuma Muhd Aminuddin Azmi sekadar menggegarkan palang gol Kelantan tatkala Judtanna sudah pun tertewas daripada posisinya.

Pada m-33, Mohd Aris meletakkan Kelantan mendahului 1-0 mengatasi Kedah. Segalanya berpunca apabila sepakan percuma yang diambil Mohd Farhan ditanduk Mohd Faiz Suhaimi dan melantun kepada Mohd Aris yang tidak dikawal mudah merembatan kencang untuk menghasilkan gol pertama Kelantan.

Namun anak buah Fisol Razak jelas tidak mudah mengalah apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit-minit akhir separuh masa pertama. Muhamad Aidi Huzaini berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan cantik setelah menyambut baik sepakan sudut yang dilakukan Mohd Fitri Zaaim Amran untuk menewaskan Judtanna di pintu gol Kelantan.

Babak kedua, Kedah dilihat lebih menguasai perlawanan menerusi jentera tengah mereka yang bergerak lebih efektif. Pada m-59, Kedah kempunan untuk menambahkan jaringan apabila sepakan percuma Muhd Aminuddin sedikit melewati palang.

Pada m-62, Kelantan terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pemain pertahanan, Tuan Mohd Norhafiziee Tuan Mahmood diperintahkan keluar padang kerana mengutip kad kuning kedua setelah dia mengasari penyerang Kedah Mohd Fitri Zaaim didepan pintu gol Kelantan.

Namun Kedah gagal memanfaatkan kelebihan tersebut untuk memburu gol kedua sementara Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail terpaksa membuat percaturan taktikal dengan memasukkan pemain baru bagi mengimbangi kekuatan pasukan pelawat.

Pada m-68, Mohd Faiz menceriakan penyokong setia Kelantan apabila menjaringkan gol menerusi tandukan cantik setelah menyambut baik sepakan sudut oleh Khairul Izuan Rosli untuk menewaskan Mohd Muhaimin buat kali kedua.

Pemain pertahanan, Mohd Faiz Suhaimi menjaringkan gol menerusi tandukan hasil sepakan sudut yang diambil Khairul Izuan Rosli. 

Tersentak dengan jaringan tersebut, Kedah ternyata lebih tertekan untuk mencari gol penyamaan malahan sokongan padu penyokong berjaya menyuntik semangat luar biasa pemain Kelantan untuk terus menambahkan jaringan.

Malahan, biarpun beraksi dengan kekurangan seorang pemain, barisan pemain Kelantan dilihat lebih rakus untuk mengatur serangan merbahaya ke pintu gol Kedah. Tempoh masa kecederaan empat minit terakhir seharusnya menjadi milik Kelantan untuk menambahkan jaringan namun empat percubaan menarik masing-masing menerusi Mohd Azyu Ikmal Mat Nor, Mohd Aris dan Mohd Izuan Salahuddin dihampakan oleh kekebalan penjaga gol Kedah, Mohd Muhaimin.

Kesebelasan utama pemain :
KELANTAN – Judtanna Eh Put, Mohd Faiz Suhaimi, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim (KP), Tuan Mohd Norhafiziee Tuan Mahmood, Nicholas Chan Meng-Jin (Faizol Nazlin Sayuti), Muizzudin Marzuki (Mohd Azyu Ikmal Mat Nor ), Mohd Khairul Izuan Rosli (Mohd Syawal Rudin Abdul Razak), Mohd Zamri Ramli, Mohd Izuan Salahuddin, Mohd Aris Zaidi dan Mohd Farhan Yaakub (Mohd Norsyahrul Hawari).

KEDAH – Mohd Muhaimin, Mohd Ridzuan Rumlee, Omar Shariff Othman (Mohd Nizam Abdullah), Tan Yang Wei, Muhamad Aidi Huzaini (Ivan Por Kean Hai), Lew Hung Hung, Mohd Zulfaizam Kamis (KP), Muhammad Fiqry Md Isa, Muhd Aminuddin Azmi, Mohd Fitri Zaaim Amran, Muhammad Tarmizi (Mohd Saddam Mohd Nor).

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (6) Kedah (3)
Percubaan tersasar : Kelantan (4) Kedah (5)
Sepakan sudut : Kelantan (3) Kedah (5)
Sepakan percuma : Kelantan (22) Kedah (20)
Offsaid : Kelantan (0) Kedah (1)
Kekasaran : Kelantan (20) Kedah (19)
Kad kuning : Kelantan (Nicholas Chan Meng-Jin dan Mohd Izuan Salahuddin) Kedah (Omar Shariff Othman dan Muhd Aminuddin Azmi)
Kad merah : Kelantan (Tuan Mohd Norhafiziee Tuan Mahmood)
Masa tambahan :   Lima minit
Penguasaan bola : Kelantan (55%)  Kedah (45%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Sukri Abd Rahman
Penolong Pengadil 1: Mohd Rahimi Mohd Nor
Penolong Pengadil 2: Zairul Azril Zakaria
Pegawai Keempat : Mohd Ezani Said
General Koordinator: Arif Hassan
Komissioner Perlawanan : Abdul Ghani Omar

No comments:

Post a Comment