Thursday, February 17, 2011

KELANTAN BURU KEMENANGAN KEDUA


KOTA BHARU – Misinya mungkin agak sukar tetapi tidak mustahil dilaksanakan. Skuad Piala Presiden Kelantan tetap memasang impian untuk mencipta kemenangan sekalipun bakal berdepan tentangan sengit daripada tuan rumah, Sabah dalam aksi kedua Liga Piala Presiden di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam ini.

Penolong Pengurus Pasukannya, Mohd Yusri Ismail mengakui perlawanan malam ini cukup penting bagi kedua-dua pasukan sementelah tidak banyak yang dapat diketahui tentang kekuatan tersembunyi yang dimiliki pasukan Negeri Dibawah Bayu itu.

MOHD YUSRI ISMAIL

“Kita tetap menghormati keupayaan pasukan Sabah kerana mempunyai kelebihan beraksi ditempat sendiri. Tambahan pula kejayaan mencatatkan keputusan seri 3-3 dalam perlawanan pembukaan menentang Selangor minggu lalu membuktikan pasukan ini tiak boleh dipandang rendah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Namun begitu misi kita bertandang ke sini (Kota Kinabalu) tidak mahu berakhir dengan tangan kosong. Kita tetap mahu mengutip mata disini. Persiapan pasukan kita berjalan dengan baik. Hanya dua pemain yang mengalami kecederaan iaitu Mohd Manaf (Mansor) dan Mohd Zamri (Ramli) namun saya percaya Mohd Manaf bersedia diturunkan sementara nasib Mohd Zamri hanya akan diketahui menjelang perlawanan malam ini.

“Ada hikmah disebalik penundaan perlawanan yang sepatutunya berlangsung sebelah petang kepada malam ini. Sekurang-kurangnya para pemain mendapat rehat yang mencukupi setelah mengharungi perjalanan yang jauh dengan menaiki bas ke Kuala Lumpur sebelum menyambung perjalanan menaiki pesawat ke Kota Kinabalu,” katanya.

Mohd Yusri berkata, pasukannya yang diberi jolokan nama  President Warriors bermula musim ini akan menurunkan Nicholas Chan Meng-Jin, pemain remaja yang pernah menimba pengalaman bersama kelab remaja Cardiff City.

“Dia (Nicholas Chan Meng-Jin) ada dalam perancangan jurulatih untuk diturunkan dalam perlawanan malam ini. Dia akan beraksi diposisi sayap kanan. Saya percaya penampilan kali pertama dia bersama kita dalam perlawanan ini tidak akan mengecewakan pihak pengurusan. 

Skuad Kelantan mahu mencipta kejutan apabila bertemu Sabah di Kota Kinabalu malam ini. 

“Segala keseluruhannya semua pemain bersedia mengharungi perlawanan menentang Sabah malam ini. Moral pemain berada dalam keadaan baik dan mereka cukup bersedia untuk mencipta kemenangan kedua untuk Kelantan walaupun bermain di gelanggang luar kali ini.

“Bagi kita, tidak ada tekanan apabila bertandang ke sini. Kita mahu pemain mengharungi perlawanan dalam suasana yang baik. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan selama 90 minit di atas padang,” katanya.

1 comment: