Saturday, February 19, 2011

KARATHU TURUN BARISAN TERIKAT


 Karathu serius mengendalikan sesi latihan terakhir skuad Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, pagi semalam.

KOTA BHARU – “Kami akan turunkan barisan terkuat”. Begitulah amaran awal pengendali Kelantan, Datuk M Karathu ketika ditanya mengenai persiapan pasukannya bagi menghadapi T-Team dalam perlawanan pusingan pertama kejohanan Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Karathu berkata, selaku pasukan berstatus juara dan menerajui carta liga ketika ini, beliau tidak rela melihat perjuangan pasukannya terkeluar lebih awal dalam saingan kalah mati kejohanan itu.

“Kita dilandasan yang tepat untuk memburu sebuah lagi piala daripada tiga piala yang kita sasarkan musim ini. Justeru, saya mahu pemain saya menjadikan pertemuan menentang T-Team malam esok (malam ini) sebagai satu titik tolak kebangkitan Kelantan setelah tersingkir lebih awal musim lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Saya tetap menghormati kemampuan pasukan T-Team. Walaupun kedudukan mereka tidak begitu memberangsangkan dalam saingan liga namun itu bukan ukuran yang sebenar bagi kita menilai keupayaan pasukan berstatus kelab itu.

“Untuk itu, saya akan menurunkan barisan terkuat bagi menghadapi mereka. Saya mahu pemain saya turun dengan satu matlamat iaitu mencipta kemenangan. Setiap pemain dalam pasukan ini harus mempunyai sikap sedemikian andai kita mahu menang dalam setiap yang kita hadapi,” katanya.

Ketika ditanya mengenai peluang pasukan Kelantan dalam perlawanan itu, Karathu tetap optimis pasukan bimbingannya mempunyai peluang untuk melayakkan diri ke pusingan kedua.

“Kedua-dua pasukan mempunyai peluang terbuka untuk menang dalam perlawanan ini. Dalam bola sepak tidak ada yang mustahil. Kalau kita main bagus saya percaya kita boleh menang. Sebagai pasukan yang memimpin kedudukan liga ketika ini, kita perlu bekerja keras dalam setiap perlawanan yang dihadapi.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan kombinasi dan persefahaman yang jitu dalam kalangan pemain. Anda boleh tengok corak permainan mereka sudah berubah dimana pergerakan dan hantaran pemain juga sudah semakin bagus.. Cuma saya pening kepala memilih barisan pemain kerana kesemua mereka bersaing hebat dalam sesi latihan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pemain,” katanya.

“Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) kembali ke kemuncak prestasinya. Saya gembira apabila dia menjaringkan gol ketika perlawanan menentang Kuala Lumpur. Saya bersedia menurunkan Zairul Fitree (Ishak) yang sudah pulih daripada kecederaan. Tiada masalah diposisi itu kerana S Subramaniam juga bermain bagus dalam perlawanan sebelum ini,” katanya.

Barisan kemungkinan Kelantan :
Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, Zairul Fitree Ishak, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Farisham Ismail, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Solehin Kanasian Abdullah, Mohd Shakir Shaari, Mohd Ramzul Zahini Adenan  dan Norshahrul Idlan Talaha.

No comments:

Post a Comment