Sudah ada barisan bayangan menentang Selangor pada 29 Januari ini
KOTA BHARU – Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan menuntut para pemainnya menunjukkan peningkatan dalam empat perlawanan persahabatan yang akan dihadapi oleh skuad Kelantan bermula dengan menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.
Sathianathan berkata, keempat-empat perlawanan persahabatan itu begitu penting bagi beliau untuk menilai persembahan skuad Kelantan setelah kesemua 27 pemain pemainnya mula menjalani latihan bersama sejak petang kelmarin.
“Saya hendak pemain-pemain saya menunjukkan peningkatan daripada segi mutu persembahan dalam siri perlawanan persahabatan bermula menentang Kedah malam esok (malam ini). Saya tidak mengharapkan peningkatan yang mendadak daripada pemain saya kerana kita mempunyai empat perlawanan persahabatan dalam tempoh seminggu ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian sejurus sesi latihan terakhir pagi semalam.
“Setiap perlawanan yang kita hadapi perlu ada peningkatan dan pembentukan persefahaman dalam kalangan para pemain. Kita akan tekankan faktor kecergasan kali ini. Kecergasan ketika beraksi adalah lain, ianya tidak akan datang dalam satu atau dua perlawanan.
“Berbanding dengan beberapa pasukan lain di Lembah Klang, Pulau Pinang dan juga Kedah yang sudah bermain 10 hingga 12 perlawanan, kita baru sahaja hendak bermain perlawanan keenam, jadi saya harap empat perlawanan ini dapat digunakan untuk memperbaiki kesilapan yang dilakukan dalam perlawanan persahabatan sebelum ini,” katanya.
Pemain Kelantan menjalani latihan kecergasan dibawah kendalian Jurulatih Kecergasan, Rueven Jude Balraj sebelum bertolak ke Pulau Pinang pagi semalam.
Sathianathan berkata, beliau sudah mengenalpasti barisan bayangan yang bakal diturunkan bagi menghadapi Selangor dalam perebutan Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Shah Alam hujung bulan ini.
“Ya…dalam kepala saya sudah ada 80 peratus bayangan pemain yang bersedia diturunkan bagi menghadapi Selangor dalam perlawanan Sumbangsih bulan ini. Tetapi semuanya bergantung kepada faktor kecederaan pemain. Kalau pemain itu cedera maka saya terpaksa mengubah fikiran, semuanya bergantung kepada faktor kecergasan pemain.
“Saya mengharapkan semua pemain yang tercedera pulih daripada kecederaan dan dapat beraksi sekurang-kurangnya tiga daripada empat perlawanan persahabatan ini. Banyak faktor yang membuatkan mereka mengalami termasuk juga faktor padang dan sebagainya,” katanya.
No comments:
Post a Comment